HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Umno buka pintu untuk Mukhriz

Alyaa Alhadjri 


Tan Sri Annuar Musa berkata Umno mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai parti itu semula jika jika bekas menteri besar Kedah itu benar-benar bercita-cita menjadi perdana menteri.

Bercakap di sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur Annuar berkata tindakan sesetengah pemimpin meninggalkan Umno bukan sesuatu yang baru.

Sebelum ini pun kata Annuar ada pemimpin yang meninggalkan Umno itu kembali kepada parti berkenaan, seperti dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah.

Anggota Parlimen Gua Musang itu meninggalkan Umno selepas berseteru dengan kem Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan menubuhkan parti Semangat 46.

Tengku Razaleih kembali kepada Umno 1996.

Semasa berada di luar Umno Tengku Razaleigh membawa partinya bersahabat dengan PAS dan DAP melalui dua persefahaman politik berasingan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno berkata jika Mukhriz berasa mahu kembali menyertai parti berkenaan pihaknya tidak ada masalah.

Malah sikap itu tidak hanya terhad kepada Mukhriz malah kata Annuar terbuka kepada sesiapa saja.

"Kalau betul Mukhriz nak jadi PM, tidak mustahil. Kalau rasa nak balik apa salahnya, boleh bincang," katanya.

Selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar Mukhriz dan Dr Mahathir - bapanya - menjadi pengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Mukhriz, 51, kini adalah naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

'Bimbang' nasib PKR, DAP

Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi BERSATU dan parti itu sedang giat menjalankan kempen bersama pembangkang untuk mengetepikan Najib.

Sejak dimusuhi Umno Mukhriz disebut-sebut cuba diletakkan sebagai perdana menteri oleh Dr Mahathir.

Annuar sebelum itu mempengerusikan mesyuarat sekretariat penerangan Umno yang melibatkan semua ketua penerangan Umno negeri.

Sebelum ini bloger Raja Petra Kamarudin mendakwa Dr Mahathir merancang meletakkan Mukhriz menjadi perdana menteri melalui jawatan menteri kewangan.

Tulisannya pada 24 September itu berkata ia dibuat berdasarkan hujah Dr Mahathir sendiri iaitu seorang perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri kewangan.

Sementara itu Annuar berkata Umno mengalu-alukan langkah Muhyiddin dan BERSATU bertanding menentang parti lama mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Itu sangat dialu-alukan. Itu yang kita mahu.

"Apa yang kita bimbang ialah mereka tidak bertanding. Semua kerusi sudah dimiliki PKR atau Amanah (Parti Amanah Negara) yang diwarisi daripada PAS, dan DAP pula enggan menyerahkan kerusi yang mereka tandingi," katanya secara sinis.

Justeru kata Annuar Umno menyambut baik jika Muhyiddin (dan BERSATU) meletakkan calon di 120 kerusi yang ditandingi parti berkenaan.

Kenyataan Annuar itu dibuat mengulas kenyataan Muhyiddin yang meminta PAS membenarkan calon BERSATU bertanding menentang Umno di Kelantan.

Portal Free Malaysia Today semalam menyiarkan laporan mengenai permintaan Muhyiddin ketika beliau berucap di atas pentas PAS di Kemanan, Terengganu.

Mengenai perkembangan terkini di Sabah Annuar berkata beliau 'bimbang' mengenai nasib dan masa depan PKR serta DAP.

"Saya tak begitu bimbang mengenai Umno sebab yang meninggalkan parti itu, kita yang buat dia keluar," katanya merujuk kepada bekas naib presiden parti berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bekas menteri itu digantung keahliannya oleh Umno sebelum beliau sendiri mengumumkan keluar dari parti dan dalam proses mengetuai sebuah parti baru berasaskan Sabah.

Tiada ulasan: