DETIK DAILY
Oleh *Liew Chin Tong
BR1M
(Bantuan Rakyat 1 Malaysia) bukan jawapan untuk sebuah polisi ekonomi
yang tuntas bagi menyelesaikan isu melingkari golongan berpendapatan
terendah 60% kebawah. Naif sekali jika Umno menyangka rakyat terbanyak
tidak menyedari hal ini.
Umno menganggap Tun Dr Mahathir
Mohamad telah melakukan satu kesilapan besar apabila dengan beraninya
mendakwa BR1M adalah 'rasuah'. Anggapan mereka, rakyat khususnya
penerima BR1M akan menempelak Tun kerana mengkritik usaha Perdana
Menteri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional ini.
Oleh itu,
dakwaan Tun telah menerima kecaman hebat oleh para menteri.
Pada
awal-awal tahun pengenalan, BR1M (sebelum GST dilaksanakan) sememangnya
menyumbang kepada peningkatan imej seterusnya sokongan rakyat kepada
Umno dalam PRU 2013. Namun ia sedikit demi sedikit berkurangan pada
tahun-tahun berikutnya.
Rakyat Malaysia hari ini umumnya telah menyedari bahawa:
Pertama,
sumber BR1M adalah dari dana awam. Justeru mereka sememangnya berhak
mendapat BR1M dan bukanlah suatu kewajipan untuk mereka rasa terhutang
budi atau 'berterima kasih' kepada Najib.
Kedua, sejak
perlaksanaan GST pada 2015 dan kenaikan harga barangan, BR1M tidak lagi
memberi kesan besar terhadap pendapatan boleh guna isi rumah.
Ketiga,
BR1M tidak langsung menjadi jawapan kepada isu peluang pekerjaan yang
meruncing kini.
Kerajaan gagal untuk tampil dengan polisi yang
meyakinkan. Jauh di hati rakyat, pekerjaan yang baik dengan upah yang
setimpal adalah keperluan mendesak berbanding BR1M meskipun mereka akan
terima apa sahaja yang diberikan oleh Kerajaan.
BR1M hakikatnya
adalah respon pra-matang Najib kepada proposal kerangka polisi Pakatan
Rakyat yang dikemukakan pada Julai 2011 yang lalu.
Saya yang
terlibat secara langsung dalam jawatankuasa penyediaan proposal
tersebut telah mengambil garis bahawa pemerkasaan ekonomi golongan
berpendapatan terendah 60% kebawah perlu menjadi asas untuk memberi
nafas baru kepada keseluruhan ekonomi Malaysia yang suram.
Sejak
krisis ekonomi global 2008, eksport Malaysia menguncup disebabkan
permintaan yang mengecil dari Eropah dan Amerika Syarikat. Pada ketika
itu, kita boleh menyaksikan bagaimana negara terpaksa bergantung lebih
kepada penggunaan domestik. Pun begitu, ia banyak dibiayai oleh hutang
isi rumah yang pastinya tidak mapan untuk jangka masa panjang.
Strategi
ekonomi yang mapan hanya mampu dibentuk apabila kita melakukan
reformasi ekonomi dengan memperkasakan golongan berpendapatan terendah
60% kebawah. Inilah asas kepada proposal kerangka polisi Pakatan Rakyat
2011
Bertitik tolak dari asas tersebut, kami mencadangkan 3
pakej reformasi ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan pendapatan
boleh guna golongan berpendapatan terendah 60% kebawah seterusnya
menganjak ekonomi Malaysia.
Pakej I - Pendapatan & Produktiviti
Pemberian
wang saguhati (seperti BR1M) bukan jawapan kepada isu kesukaran
mendapat peluang pekerjaan yang baik dengan bayaran upah yang setimpal
yang membelenggu rakyat. Satu rangka polisi ekonomi yang ampuh amat
diperlukan untuk berhadapan isu ini.
Timbul persoalan;
bagaimanakah Malaysia mampu mengurangkan kebergantungannya terhadap
pekerja asing tanpa kemahiran? Usaha untuk meningkatkan tahap automasi,
penggunaan alatan bermesin dan menaik taraf industri agar
kebergantungan kepada tenaga manusia dapat dikurangkan mampu memberi
jawapan.
Kerajaan bertanggungjawab merangka polisi yang
ditunjangi asas untuk meningkatkan produktiviti (menerusi automasi dan
penggunaan teknologi bermesin) dan pengupahan tenaga kerja mahir dengan
gaji yang lebih tinggi. Apa yang kita ada hari ini adalah kerangka
polisi yang berorientasikan produktiviti yang rendah melalui lambakan
tenaga kerja tidak berkemahiran dengan tangga gaji yang amat rendah.
Pakej II - Perbelanjaan Sosial
Perumahan,
pengangkutan awam dan kesihatan adalah tiga sektor yang menjadi
tanggungjawab besar Kerajaan untuk diurus dengan baik.
Sebahagian
besar golongan berpendapatan terendah 60% kebawah membelanjakan wang
pendapatan atau tabungan mereka untuk urusan rumah, kenderaan dan
kesihatan. Jika mereka dapat mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan ini
pada masa yang sama mengecapi kualiti kehidupan yang baik,
perbelanjaan boleh guna mereka dapat ditingkatkan dan memberi kesan
positif terhadap perkembangan ekonomi negara keseluruhannya.
Kerajaan
dan GLC tidak wajar bersikap buas menjual rumah kepada rakyat
terbanyak atas dorongan keuntungan semata-mata sebaliknya harus
bertindak dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab untuk menyediakan
perumahan yang mampu dan selesa. Ironisnya, antara pemaju yang berada
pada ranking tertinggi membuat keuntungan menerusi projek hartanah
adalah syarikat berkaitan kerajaan!
Kerajaan juga seharusnya
memikirkan bagaimana kemudahan pengangkutan awam dapat benar-benar
memanfaatkan rakyat, bukannya untuk faedah kontraktor sepertimana
projek MRT di Lembah Klang.
Hutang pembelian kereta termasuklah kos
penyelenggaraan dan petrol adalah antara komponen yang menelan
perbelanjaan tinggi. Sekiranya pengangkutan awam cukup efisyen, ia
dapat menjadi alternatif kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan
boleh guna isi rumah.
Dari aspek kesihatan, kebanyakan hospital
swasta di Malaysia dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan (GLC)
seperti Khazanah, Sime Darby dan KPJ. Dwi sistem dalam aspek kesihatan
ini telah menyebabkan rakyat terbanyak turut memilih perkhidmatan serta
kepakaran ditawarkan di hospital swasta sekalipun terpaksa membayar
kos yang tinggi.
Meskipun pahit, kita terpaksa menelan hakikat
bahawa terdapat rakyat berpendapatan rendah yang terpaksa membuat
pinjaman untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Kesannya,
komitmen bayaran balik pinjaman tersebut sudah pasti memakan tahun. Hal
ini memberi kesan penyusutan kepada pendapatan boleh guna isi rumah.
Pakej III - Memecahkan monopoli & oligarpoli
Satu
aspek penting yang memerlukan keazaman politik yang tinggi oleh
Kerajaan untuk mengembangkan pendapatan boleh guna golongan
berpendapatan terendah 60% kebawah ialah dengan memecahkan tembok
monopoli.
Contohnya, kajian telah menunjukkan bahawa rakyat
Malaysia terpaksa membayar lebih untuk menggunakan data internet dan
caj telefon mudah alih berbanding rakyat di hampir semua negara
rakan-rakan serantau Asia bagi tahap perkhidmatan yang sama.
Monopoli
dan oligarpoli hakikatnya wujud dalam segenap aspek kehidupan rakyat.
Dari sekecil-kecil perihal di dapur melibatkan gula dan beras
sehinggalah sebesar-besar perkara seperti tol lebuhraya dan sebagainya.
Kerajaan
yang mendakwa berjuang untuk rakyat adalah Kerajaan yang berdiri teguh
bersama rakyat, bukan korporat. Kerajaan yang beriltizam untuk berdiri
di pihak rakyat tidak akan membenarkan polisi ekonomi bersifat
monopoli dan oligarpoli kerana apabila kuasa beli golongan
berpendapatan terendah 60% kebawah meningkat, aliran perbelanjaan
ekonomi domestik turut meningkat (yang pastinya bukan untuk membeli tas
tangan import berjenama) dan ia akan menguntungkan rakyat terbanyak.
KESIMPULAN
Apabila
Pakatan Rakyat pada 2011 tampil dengan kerangka polisi seperti yang
telah dinyatakan, Najib memberi respon menerusi BR1M.
Dari
konteks pilihan raya, saya terpaksa akui bahawa BR1M dan pendekatan
'cash is king' sangat berkesan untuk UMNO - Barisan Nasional berhadapan
PRU 2013.
Pun begitu, dalam keadaan dimana peluang pekerjaan
yang baik dan berbaloi amat sukar didapati, peningkatan kos sara hidup
yang amat tinggi, cukai GST yang menjerut dan pelbagai lagi kelemahan
urustadbir yang wujud hari ini, BR1M tidak lagi mampu menjadi senjata
Najib memenangi hati dan memenuhi keperluan rakyat.
Sekarang
adalah masanya untuk rakyat mengambil sikap yang teguh dan menyatakan
bahawa BR1M dan segala bentuk pemberian bersifat saguhati bukanlah
jawapan tuntas kepada isu melingkari kita semua. Dan saya amat yakin
pada kebijaksanaan rakyat Malaysia dalam menilai realiti ini.
*Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang