HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2016

KATA PEDANG: Kak Siti mungkin suka kongsi tandas lelaki, wanita




TAHNIAH kepada pemilik KRZ Management Sdn Bhd! Pedang puji usaha itu. Mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita di dalam bas TransMalaya, suatu tindakan yang sangat baik dan patuh syariah, walaupun puak-puak liberal dan songsang tidak menggemarinya.
Usaha ini juga dilihat bukan langkah popular, selain mungkin berdepan sedikit masalah bagi menyusun tempat duduk, terutama apabila membabitkan pasangan suami isteri. Lebih bagus lagi jika menempatkan penumpang wanita di tempat duduk belakang.
Tak seperti sesetengah jabatan dan agensi yang menganjurkan senamrobik bercampur lelaki perempuan. Peserta wanita berpakaian ketat diletak di barisan depan, lelaki di belakang. Ini salah!
Begitu juga usaha mengajak umat Islam melakukan perkara-perkara sunat. Contohnya, mengikuti ceramah ilmu atau berkumpul ramai-ramai berselawat. Ajakan dan perbuatan itu adalah baik.
Tetapi, apabila dalam majlis itu bercampur lelaki dan wanita, di mana perempuan berpakaian yang boleh menampakkan bentuk tubuh, atau agak ketat, menampakkan sesuatu yang haram daripada pandangan mata bukan mahram, maka perbuatan sunat menjadi haram. Nak buat sunat dapat haram!
Pedang mendoakan usaha murni syarikat bas itu menjadi ikutan pengusaha lain. Ini yang kita mahu, terapkan nilai-nilai murni dalam cara hidup umat Islam.
Melalui komen dan perkongsian di laman sosial, pengasingan tempat duduk ini bukan sahaja mendapat pujian dalam kalangan wanita Islam, bahkan orang kafir juga turut menyukai langkah pengusaha bas ini. Ini suatu petanda yang baik. Pedang kira dengan cara ini tidak mustahil mereka akan lebih menghargai nilai kehidupan menurut syariat Islam.
Tetapi, dalam ramai-ramai memuji, ada juga yang membangkang! Pedang pun pelik bila baca kenyataan dia,  tetapi dia bebas berkata-kata, walaupun tampak kejahilannya. Dan, sekali lagi ‘si jari tengah’ pun muncul dengan kenyataan yang hanya memalukan agama sendiri.
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?”
Pedang nak tanya, selama ini Siti Kasim naik bas kah? Kalau tidak, kenapa perlu sibuk usaha baik orang lain. Bercakap biarlah guna akal, jangan ikut nafsu amarah. Tidakpun cukup berdiam diri, paling kurang boleh jadi wanita yang membantu wanita lain.
Bukan itu sahaja, Siti Kasim turut membantah tindakan syarikat berkenaan yang meminta pasangan  menunjukkan sijil nikah ketika membeli tiket.
“Kita patut rasa terhina dan marah dengan orang seperti ini yang cuba membuat macam kita ini bodoh dan  gila seks,” kata Siti Kasim.
Sungguh memalukan!
Dalam isu ini Pedang setuju sekali kata-kata Ketua Penerangan Wanita Isma, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar. Ini bukan isu polis moral atau tidak. Tujuan pengasingan untuk sepanjang perjalanan wanita ketika dalam bas, bagi memastikan keselamatan tanpa gangguan.
Antara sebabnya, kes wanita diganggu, diraba oleh lelaki memang berlaku. Jadi itu tujuan pengasingan dibuat. Ada juga lelaki yang berpura-pura tertidur hingga meletak kepala di bahu penumpang wanita sebelah. Sebab itu, Pedang diberitahu ada gadis yang bawa jarum. Letak kepala atas bahu, cucuk dengan jarum.
Tetapi Siti Kasim jauh pula menyimpang. Itu puncanya kata Dr Rafidah apabila seseorang itu membenci agama sendiri, dia gagal untuk menghargai, walaupun keperluan yang paling asas yang sebenarnya adalah sebahagian daripada Islam.
Senang cerita macam kata Datuk Zainul Rijal, kalau ‘Kak Siti tak nak naik bas tu tak pe la Kak Siti banyak lagi bas lain ada. Jangan kecoh kecoh. Tiada masalah. Dan jangan juga naik coach KTM warna pink yang dikhususkan kepada wanita, jangan juga masuk wad wanita di hospital, jangan masuk tandas wanita kerana semua tempat tu memisahkan lelaki dan perempuan kan…. Biar la apa jadi asalkan jangan jadi polis moral. Takkan semua nak ikut cakap Kak Siti saja, orang lain pun ada hak juga. Jangan paksa orang ikut Kak Siti sahaja.’
Kata Pedang: Tabung Haji pun patut asingkan tempat duduk jemaah lelaki dan wanita dalam pesawat ke Makkah pada musim haji.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Tiada ulasan: