Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir Mohamad bersabit pemberian
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah.
Ujarnya, pemberian bantuan itu adalah sesuatu yang patut diterima rakyat.
"Apa sahaja yang diberikan kerajaan memang sepatutnya diberikan kepada
rakyat. Ia bukan rasuah. Ia adalah hak rakyat untuk mendapatkannya,"
Ujar Azizah dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Kenyataan Wan Azizah itu dilihat bercanggah dengan apa yang didakwa Dr
Mahathir sebelum ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah.
Mantan perdana menteri itu juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak menggunakan BR1M untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Tidak seperti Najib, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
itu juga berkata, ketika mentadbir negara suatu ketika dahulu beliau
tidak memberi duit sebaliknya menyalurkan kebaikan dan manfaat untuk
rakyat.
"Itu pendapat beliau, beliau berikan kita peluang untuk perjelaskan," ujar Wan Azizah lagi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menjelaskan
kenyataan Dr Mahathir itu bagi menyedarkan rakyat bagaimana pemberian
BR1M itu mampu menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan negara.
"Ini yang saya fikirkan apa yang Dr Mahathir cuba jelaskan. Jangan
anggap BR1M sebagai membeli kesetiaan kamu. Jika itulah cara kamu
berfikir ia adalah rasuah. Menerima (BR1M) itu hak anda, tetapi apabila
hendak mengundi, pilih yang mana satu mengemukakan polisi ekonomi yang
teguh dan boleh menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan negara," kata
Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan