HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Disember 2016

IHP makanan & minuman rekod kenaikan lebih tinggi



KUALA LUMPUR : Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol merekodkan kenaikan lebih tinggi daripada kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan.

Kenaikan indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di setiap negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan juga Melaka.

Kenaikan ini didorong oleh indeks sub-kumpulan makanan minyak dan lemak (+36.6 peratus); daging (+6.0 peratus); ikan dan makanan laut (+4.5 peratus) dan sayur-sayuran (+3.6 peratus).

IHP keseluruhan naik pada kadar lebih tinggi sebanyak 1.8 peratus pada November 2016 kepada 116.9 daripada 114.8 pada bulan sama tahun lepas.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi November 2016 naik sebanyak 1.0 peratus berbanding Oktober 2016

Inflasi teras naik 2.2 peratus pada November 2016 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan indeks bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+3.8 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.1 peratus) diimbangi dengan penurunan indeks bagi kumpulan Komunikasi sebanyak 2.7 peratus, Pengangkutan (-1.5 peratus) dan Pakaian & Kasut (-0.5 peratus).

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan penurunan lebih kecil iaitu 1.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi November 2016, setelah turun 5.5 peratus masing-masing pada Oktober dan September 2016.

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada November 2016, dengan kenaikan 3.4 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan November 2016 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+45.6 peratus); ayam (+10.0 peratus); sotong (+7.8 peratus); Ikan Tenggiri (+7.2 peratus); Ikan Kembong (+5.4 peratus); udang (+4.8 peratus) dan Ikan Merah (+4.5 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti lobak merah (-9.2 peratus); bawang besar (-7.5 peratus) dan tomato (-3.6 peratus).=EZY=

Tiada ulasan: