Oleh Haizal Yatiran
PUTRAJAYA: Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tun Faisal Ismail Aziz
menempelak kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang
menyamakan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tokoh politik
Afrika, Nelson Mandela.
Menurutnya, Anwar tidak layak dianggap sebagai pejuang seperti Mandela
kerana bekas ketua pembangkang itu telah disabitkan kesalahan meliwat.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR kini menjalani hukuman penjara lima
tahun setelah dibuktikan bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful
Bukhari Azlan pada 2008.
"Cuma apa yang rakyat Malaysia ikuti kes Anwar Ibrahim adalah berkenaan
liwat. Akhirnya beliau terbukti sebagai seorang penjenayah selepas
berjaya dibuktikan (di mahkamah).
"Mandela dipenjarakan bukan sebab jenayah (liwat), Anwar pula di
penjara sebagai seorang penjenayah (peliwat)," katanya kepada Antarapos.
Wan Azizah hari ini berkata suaminya, Anwar masih berpeluang menjadi Perdana Menteri meskipun sedang menjalani hukuman penjara.
Beliau menyamakan situasi itu dengan mendiang Nelson Mandela yang turut
dipenjarakan sebelum diangkat sebagai pemimpin utama negara.
Dalam pada itu tambah Tun Faisal, adalah menjadi 'tabiat' pembangkang
menyamakan Anwar dengan tokoh-tokoh terkemuka dunia bagi mengangkat
pemimpin itu sebagai idola.
"Daripada dulu lagi kita dengar Anwar ini disamakan dengan tokoh-tokoh dunia. Ini bukan kali pertama. Banyak lagi tokoh.
"Sudah ada gerakan untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai seorang idola," katanya sinis.
Untuk rekod, 14 Disember lalu, Anwar gagal mengenepikan permohonan
semakan sabitan dan hukuman kes liwatnya apabila ia ditolak oleh
Mahkamah Rayuan.
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan
kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses
mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman di Penjara
Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman
penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan