Pejabat presiden Myanmar menafikan ia menerima
permohonan itu dan berkata ia tidak akan menerima ketibaan flotilla yang
tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu.
KUALA LUMPUR: Penganjur misi flotilla ke Myanmar bagi membantu etnik Rohingya mendakwa sudah membuat permohonan untuk mendapat kebenaran memasuki negara itu melalui kedutaannya di negara ini, namun belum mendapat sebarang jawapan.
“Walaupun tidak menerima maklum balas, kami akan meneruskan pelayaran kerana kami percaya ini adalah misi kemanusiaan yang penting,” kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Zulhanis Zainol.
Pejabat presiden Myanmar bagaimanapun menafikan ia menerima permohonan itu dan berkata ia tidak akan menerima ketibaan flotilla yang tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu.
“Jika mereka mahu cari masalah, kami tidak akan terimanya.
“Tiada rakyat negara lain boleh memasuki perairan kami tanpa kebenaran kami. Jika mereka berbuat demikian, kami akan bertindak balas – kami tidak akan serang mereka, tetapi tidak akan terima mereka,” kata jurucakap pejabat presiden, Zaw Htay kepada Reuters.
Pada 29 November lalu, media melaporkan Mapim bersama 28 badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa akan menghantar 1,000 tan beras, bantuan perubatan dan keperluan lain kepada masyarakat Rohingya yang dizalimi tentera Myanmar.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid dilaporkan berkata, misi Flotilla ke Myanmar bersama NGO dari 20 negara itu akan belayar pada 10 Januari tahun depan dengan disertai kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada pegawai perubatan dan aktivis kemanusiaan.
Awal bulan ini, Malaysia menggesa Asean menyelaras bantuan kemanusiaan dan menyiasat dakwaan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya.
Malaysia dan Myanmar adalah antara 10 anggota Asean yang mengamalkan dasar tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara lain.
Dianggarkan 150,000 hingga 200,000 orang Rohingya yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan lalu, tinggal di Malaysia.
Myanmar sebelum ini berkata, akses ke Rakhine akan dibuka untuk penghantaran bantuan kemanusiaan, tetapi ada masyarakat Rohingya tertentu yang dilarang mendapatkan bantuan atas alasan keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan