HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Disember 2016

SPAD akan panggil semua pengusaha, pemandu demi tambahbaik perkhidmatan bas

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini berkata, akan memanggil semua pengusaha bas, pemandu dan agensi berkaitan bagi sesi perbincangan penambahbaikan industri itu dalam masa terdekat.
 
Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, langkah itu penting bagi memastikan segala aspek terutamanya keselamatan penumpang dan pemandu bas dititikberatkan.
 
"Kita akan jemput semua pengusaha bas, pemandu malah semua agensi kerajaan yang terlibat dalam industri ini untuk turut serta dalam cadangan tambah baik perkhidmatan bas. Selain itu kita kita akan buat beberapa cadangan yang berkaitan. Selepas itu cuma persoalan untuk penguatkuasaan.
 
"Jalan terbaik adalah untuk memanggil semua pemain industi (perkhidmatan bas) untuk kenalpasti masalah dan kita buat cadangan kepada kerajaan berdasarkan kepada sesi perbincangan menerusi PEMANDU, semua program ini yang dilaksankan oleh kerajaan menggunakan badan ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Ujarnya lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan tujuan untuk mengenalpasti permasalahan mengenai industri bas.
 
Inisiatif itu dilakukan ekoran berlakunya kemalangan berdekatan Kampung Jayor dekat Pagoh menyebabkan 14 penumpang maut terdiri daripada enam lelaki dan lapan wanita termasuk seorang kanak-kanak.
 
Sementara 16 penumpang lagi cedera terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, enam warga Singapura (lima lelaki dan seorang wanita), dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya. 
 
Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah mencadangkan langkah keselamatan antaranya dengan pemasangan tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang bas ekspress bagi mengurangkan risiko kematian apabila berlaku kemalangan.
 
Syed Hamid menyambut baik cadangan JPJ berkenaan, selain perlu memastikan setiap bas menggunapakai sistem pemasangan had laju dalam mengawal kadar kelajuan.   
 
"Ada banyak faktor (libatkan kemalangan) kita tidak boleh katakan banyak kes kematian (ekoran kemalangan bas) sebab tidak ada penggunaan tali keledar, itu adalah satu kaedah baik. 
 
"Kedua kita kena periksan badan bas tersebut, malah kelajuan bas juga. Pada saya cadangan untuk letak (talipinggang keledar dalam bas) memang satu syarat baik. 
 
"Kalau dipasang alat kawalan had laju bagus sebab boleh menentukan bas tidak dapat bergerak lebih daripada had laju yang ditetapkan. Itu antara faktor keselamatan yang dicadangkan tetapi bas lama tidak boleh dipasang alat had laju, cuma bas baru sahaja," jawab Syed Hamid.
 
Untuk rekod tiga tahun lalu, seramai 37 orang terkorban dalam nahas bas terburuk di negara ini apabila bas yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands.
 
Kejadian pada 27 Ogos 2013 itu turut mengakibatkan 16 orang cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal.
 
 

Tiada ulasan: