HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2016

Anak muda dan dadah, di manakah titik noktah: Dr Rafidah

Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim 
 
 


IBU muda itu datang membawa anaknya yang berumur 1 tahun, dengan aduan demam, batuk dan sesak nafas selama seminggu. Bertanya lanjut hal pemakanan si bayi, si ibu sudah sebulan memberi bayinya “susu” dari bancuhan air bersama krimer pekat manis yang biasa digunakan untuk menyediakan minuman seperti teh tarik.

Selain daripada berat badan bayi yang berkurangan daripada yang sepatutnya dan menunjukkan tanda-tanda malnutrisi, bayi tersebut mengalami jangkitan pernafasan pneumonia yang teruk, dengan bibir kebiruan, yang menyebabkan saya terpaksa merujuknya ke hospital besar segera agar mendapat mendapat rawatan lebih intensif.

Si ibu rupanya terpaksa tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana beliau bekerja. Ditanya mengenai sejarah keluarga, beliau mengakui suaminya seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah beliau anak-beranak.

Suami juga kerap meminta wang daripada beliau, yang akhirnya memaksa beliau bekerja kerana kesempitan wang. Anak yang masih kecil itu terpaksa dihantar ke penjaga, dengan bekalan “susu” krimer pekat manis, apabila susu formula biasa sudah kehabisan.

Sebelum beliau dan bayinya menaiki ambulan untuk dirujuk ke hospital, saya bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu formula dan diberikan kepada beliau. Saya tahu ia tidak mencukupi, dan keadaan akan kembali seperti asal sebaik beliau dan bayi keluar dari hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang saya lakukan sebagai seorang doktor yang baru ditahun kedua perkhidmatan ketika itu.

Oleh kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 2016) anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dan Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Adakah Pencegahan Berkesan? , saya mengulangi pendirian, bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah perlu diteruskan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar.

Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong oleh kerajaan dan semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan. Impak dadah ke atas faktor sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang saya gambarkan diawal artikel ini, tidak dapat diukur dengan timbal-balik keuntungan dari pengkomersilan bahan-bahan ketagihan ini.

Dadah yang disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium, heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti Amphetamine (pil kuda, yaba), Methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant (dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen (dadah pengkhayal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti ganja.

Dadah dan pelajar sekolah

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan keputusan satu kajian yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah. 

Jumlah ini merupakan 4 peratus daripada jumlah sampel kajian. 74 peratus daripada mereka yang terlibat dengan dadah ini mengambil Methamhetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain. Pelajar tingkatan lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).

Trend pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Di samping sekolah yang bekerjasama dengan AADK memantau gejala ini, didikan dan pemantauan ibubapa kekal sebagai instrumen paling utama. Kajian menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalaman


Bagi faktor dalaman, remaja mengambil kerana ingin menghilangkan masalah dan rasa kebosanan. Oleh kerana itu penting bagi ibubapa untuk menjadi tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mendengar luahan rasa remaja.

Ibu bapa mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka. Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya dirumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian.

Selain daripada itu, ibu atau bapa, boleh bergilir keluar dengan setiap anak remaja seorang demi seorang, sekadar temujanji makan bersama contohnya, agar mereka mendapat momen istimewa atau saat privasi mereka bersama ibubapa.

Sudahkah anda membuat temujanji dengan setiap anak anda agar mereka berasa istimewa?

Remaja juga mengambil dadah kerana rasa ingin tahu, tekanan rakan sebaya dimana mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak mengetahui bahaya dadah dan terpengaruh dengan dakyah rakan-rakan yang mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagainya.

Oleh kerana itu, ibu bapa harus menekankan aspek jatidiri dengan memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin mempertahankan pendapat mereka bila berhadapan dengan tekanan rakan-rakan.

Bagaimana membentuk kekuatan jati diri ini? Ibu bapa harus terlebih dahulu menanam rasa percaya kepada diri sendiri pada anak-anak, dengan meraikan pendapat mereka, menghormati pandangan anak-anak, mengambil serius lontaran pendapat mereka dan tidak keterlaluan dalam mengkritik pendapat mereka.

Membina kepercayaan diri sendiri itu sebenarnya bermula dari rumah. Bagi seorang remaja Muslim, disiplin menunaikan tanggungjawab untuk solat 5 waktu tanpa diperingatkan, misalnya, adalah satu pembentukan kawalan diri (self-disciplined and self controlled) yang penting agar remaja, dapat menguasai diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan desakan kawan-kawan dan juga pengedar dadah diluar sana.

Kajian oleh Partnership for a Drug-Free America menunjukkan 50 peratus remaja kurang menggunakan dadah jika mereka mengetahui risiko penggunaan dadah dari ibubapa sendiri. Oleh itu, ibubapa perlu berkongsi maklumat dengan anak-anak apakah bahaya dadah.

Apakah bahaya dadah Methamphetamine?

Apakah yang perlu diterangkan kepada anak-anak remaja anda dan apakah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan?

Metamphetamine, walaupun digembar-gemburkan sebagai boleh memberi tenaga, akan “menuntut” semula tenaga tersebut selepas tamat aktiviti dadah tersebut di dalam badan. Penagih boleh berjaga sehingga berhari-hari, namun kemudiannya lesu dan tidur pula berhari-hari.

Dadah tersebut boleh menyebabkan percakapan berlebihan, rasa kegelisahan dan panik, hiperaktif, penurunan berat badan yang ketara, menjadi agresif, dan perubahan emosi. Selain daripada itu, terdapat penurunan prestasi pelajaran yang mendadak, kerap ponteng sekolah, hilang minat ke atas perkara yang sebelum ini diminati pelajar, kerap bertukar-tukar kawan (biasanya remaja mempunyai sahabat baik yang dipercayai atau kumpulan kawan rapat “click’).

Dari sudut psikologi, pelajar boleh mengalami kemurungan dan mempunyai idea untuk mengambil nyawa sendiri atau mencederakan orang lain.

Dipetik daripada buku Garis Panduan Pengendalian Penyalahgunaan Stimulan Jenis Amfetamin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

“ Methamphetamine/methamphetamine chloride juga dikenali dengan nama Speed, Speedball, Meth, Chalk, Syabu, Ice, Crank, Glass, Crystal, Tweak. Kebanyakan dadah jenis ini diproses secara haram di dalam makmal rahsia oleh mereka yang tidak terlatih. Ia juga boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori mengikut kualiti ketulinannya.

Sebagai contoh, jenis berkualiti tinggi berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula mempunyai rasa yang pahit. Dadah jenis ini digunakan secara “chasing the dragon” atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu.

Ibu bapa dengan itu harus cakna tentang barangan yang dimiliki oleh anak-anak, dan bertindak segera sebelum mereka pergi lebih jauh lagi dalam penagihan.

 Faktor luaran

Faktor luar adalah faktor persekitaran, tekanan dari drug pushers atau pengedar dadah juga keldai dadah. Ibubapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Selain daripada itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil.
Sebagai contoh dadah dalam kumpulan Methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih dikenali dengan nama Ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E’s, Ease, X, XTC, Eccies, Love Drugs, Hug drug, dan Disco Biscuits adalah lebih kuat daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.

Pil ekstasi dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning atau putih. Ada juga yang berwarna merah jambu, ungu, biru, berbintik-bintik atau berjalurjalur. Terdapat berbagai-bagai bentuk tablet seperti bentuk hati, dove, robin, rabbit dan champagne bottle.

Penting bagi ibubapa mengawasi pengambilan sesuatu yang kelihatan seperti “ubat” oleh anak-anak.

Polisi negara harus tegas terhadap bahan ketagihan


Tidak berapa lama dahulu hangat diperkatakan apabila beberapa pihak mencadangkan agar status pengharaman ganja dibawah Akta Dadah Merbahaya 1952 dipinda. Ganja atau marijuana dari tumbuhan Cannabis sativa dikatakan sebagai penghilang tekanan dan mempunyai khasiat perubatan.

Beberapa contoh negara Eropah seperti Belanda yang membenarkan penggunaan ganja sebagai dadah rekreasi dijadikan contoh dalam menyokong gesaan ini. Penulis yang pernah ke Belanda melihat bagaimana cannabis (weed, hash dan marijuana) dijual secara terbuka di kedai kopi berlesen, bahkan tema ganja dijadikan barangan cenderahati seperti rantai kunci, cawan dan t-shirt.

Dalam 5 tahun kebelakangan ini, terdapat kajian jangka panjang berkenaan ganja yang telahpun selesai.

Dalam tahun 2012, penyelidik dari New Zealand melaporkan hasil kajian mereka yang melibatkan 1037 peserta dalam “The Dunedin Study” yang lahir dalam tahun antara tahun 1972 dan 1973. Penggunaan ganja dikenalpasti melalui temuramah ketika mereka berumur 18, 21, 26, 32, dan 38 tahun.

Ujian neurofisiologi dilakukan lebih awal dari itu, iaitu ketika berumur 13 tahun sebelum mereka menggunakan ganja, dan sekali lagi ketika mereka berumur 38 tahun.

Kajian ini mendapati mereka yang menggunakan ganja sejak dari remaja mempunyai IQ yang lebih rendah, dan kadar IQ tidak meningkat walaupun mereka berhenti menggunakannya setelah dewasa.

Dalam tahun 2015, kajian Coronary Artery Risk Development in Young Adults (CARDIA) yang melibatkan 4000 dewasa muda selama 25 tahun melaporkan penggunaan ganja menurunkan memori lisan dengan ketara.

Dari sudut produktiviti dan disiplin, sebuah kajian melibatkan sekumpulan pekerja menunjukkan mereka yang disahkan positif ganja melalui ujian air kencing sebelum diambil bekerja, 85% dari kalangan mereka merekodkan kecederaan sewaktu bekerja dan 75% menunjukkan gejala ponteng dibandingkan dengan rakan sekerja yang disahkan bebas ganja melalui ujian air kencing.

Begitu juga dengan ketum, di mana timbul isu mengenai potensi ia untuk dikomersilkan dan dijual ke negara-negara maju sebagai ubat-ubatan.

Pokok ketum, juga dikenali sebagai Kratom dalam sains herba, ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae banyak terdapat di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Nama botaninya ialah Mitragyna speciosa korth. Ia tidak tersenarai dalam Akta Dadah Merbahaya namun penjualan atau pembelian air ketum boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dengan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketum, walaupun dikatakan mempunyai khasiat tradisional memulihkan tenaga, namun sejak akhir-akhir ini dilaporkan berlaku penjualan air ketum berleluasa yang menyebabkan ketagihan kepada para remaja dan pelajar, terutamanya dibahagian utara tanah air.

Kajian oleh Darshan Singh dan para penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam tahun 2014 menunjukkan lebih 50 peratus daripada 293 responden kajian yang mengambil air ketum secara konsisten lebih dari 6 bulan menunjukkan ketagihan yang serius.

Mereka melaporkan tanda-tanda withdrawal fizikal apabila berhenti mengambil air ketum seperti demam, kejang dan kesakitan otot, susah tidur, mata dan hidung berair, kurang selera makan dan cirit birit.

Tanda withdrawal psikologi ialah tidak keruan, tertekan dan mudah marah serta gementar. Ini menunjukkan air ketum mempunyai kesan ketagihan. Kita berasa bimbang dengan para pelajar yang memulakan tabiat ini sejak dari awal, yang berpotensi mendatangkan kesan jangkapanjang kepada perkembangan otak.

Kita tidak mahu mengulangi sejarah lama dengan cadangan pengkomersilan daun ketum ke luar negara atas sebarang tujuan. Syed Hussein Alatas menyatakan dalam bukunya “The Myth of Lazy Natives” bahawa ketika Malaysia masih dijajah, kerajaan British ketika itu memonopoli jualan dadah opium di Malaya sekitar tahun 1910, dan opium menjadi antara hasil utama Malaya sehingga 60 peratus jumlah hasil eksport, selain bijih timah dan getah.

Walaupun dibantah orang ramai yang meminta opium diharamkan, kerana ia menyebabkan penagihan dalam kalangan pribumi Malaya, penjajah British enggan mengharamkannya dan meneruskan penanaman dan jualan kerana opium menurut penjajah British, meningkatkan produktiviti pekerja dan menjadikan pekerja lebih patuh arahan!

Ironinya, opium diharamkan di England ketika itu. Tidak ada jaminan penanaman daun ketum secara besar-besaran dapat dikawal daripada jatuh ke tangan remaja dan disalahgunakan.

Peranan masyarakat dalam memerangi gejala ketagihan

Peranan masyarakat adalah amat penting dalam memberi mesej kepada pihak pembuat dasar, bahawa kita menolak elemen yang akan memudaratkan anak bangsa, walaupun terdapat unsur keuntungan (yang sebenarnya bersifat jangkapendek) disudut ekonomi.

Kerugian adalah amat besar dan tak ternilai dari sudut sosial dan yang berkait dengannya seperti pembentukan generasi yang sihat perkembangan otak dan bebas pengaruh dadah dan pembentukan keluarga yang utuh, jika kita gagal melihat isu dadah dan penagihan dari sudut yang lebih mendasar dan mendalam.

Episod si ibu memberi bayi susu krimer pekat manis, kerana suami penagih, biarlah tidak berulang lagi!

*  Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Ketua Penerangan Wanita ISMA


Tiada ulasan: