ROSLAN SMS CORNER
PAS menjunjung kasih atas pengisytiharan Sultan Kelantan, Sultan
Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke 15 baru-baru
ini.
Pengisytiharan yang penuh adat istiadat itu dari Istana Kubang Kerian ke
Lapangan Terbangan Sultan Ismail sehinggalah ke KLIA, Bangunan Parlimen
dan berakhir di Istana Negara sungguh warna-warni dan paling bersejarah
khususnya buat rakyat Kelantan dan seluruh warga Malaysia amnya.
Suka tidak suka walaupun Malaysia telah melihat 14 Yang Dipertuan Agong
silih berganti dan memegang teraju, namun ternyata pengisytiharan Sultan
Muhammad V kali ini telah lebih menarik perhatian ramai.
Mungkin kerana Tuanku datang dari Kelantan, iaitu negeri yang diperintah
oleh PAS sejak 26 tahun lalu. Tetapi yang pastinya kemunculan Tuanku
seakan melepaskan satu bentuk aura yang telah memaksa rakyat memberikan
lebih tumpuan dan perhatian kepada Baginda.
Hakikatnya Tuanku sangat disenangi rakyat Negeri Kelantan sejak menjadi
Sultan pada 13 September 2010 dan sebelumnya sebagai Tengku Mahkota
Kelantan.
Keperibadian dan akhlak Tuanku sungguh dikagumi rakyat lantaran itu
Tuanku benar-benar diangkat dan diiktiraf sebagai Sultan berjiwa rakyat.
Institusi Raja-raja Melayu telah wujud di tanahair kita sejak ratusan tahun.
Tanah Melayu yang asalnya di bawah kuasa dan takluk mutlak Raja-raja
Melayu ini akhirnya diperkenankan oleh Duli- duli Tuanku untuk diberikan
kemerdekaan di bawah Persekutuan Malaya dan kemudiannya Malaysia,
dengan Duli-duli Tuanku menyerahkan sebahagian besar kuasa kepada anak
negeri untuk mentadbir dan memerintah negeri-negeri dan negara melalui
sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.
Begitu besar pengorbanan Raja-raja Melayu demi memberi kemerdekaan
selain kesejahteraan kepada rakyat, namun jasa dan pengorbanan ini
sering dilupa dan terselit serta terbiar begitu sahaja dalam lembaran
sejarah.
Tuanku Raja-raja Melayulah yang memayungi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam dalam negara dan negeri-negeri.
Raja-raja Melayu dihormati rakyat dan institusi mereka terpelihara oleh
Perlembagaan Pesekutuan dan Negeri-negeri. Kesetiaan rakyat terhadap
mereka malah diikrarkan di dalam Rukunegara walaupun kebelakangan ini
sudah ada individu dan kumpulan kecil yang biadap seumpama pengkhianat
yang mula mempertikaikan institusi ini.
Saya yakin dan percaya Raja-raja Melayu sangat prihatin dan menerima
perkembangan politik dan budaya yang berligar di sekitar mereka.
Raja-raja Melayu memelihara dekorum tidak sekali-kali terlibat atau
campurtangan dalam urusan politik kepartian. Apa sahaja keputusan dan
mandat rakyat diterima Tuanku, dan inilah amalan dalam negara kita sejak
Merdeka.
Apa pun ketaatsetiaan rakyat kepada Raja-raja tambah padu dan disanjung
tinggi apabila Duli-duli Tuanku proaktif dan lebih turun ke bawah
mendampingi dan mengambil-tahu nasib dan kebajikan rakyat jelata.
Perkara ini kita tahu memang menjadi perhatian pihak istana, dan
hakikatnya kebelakangan ini pihak istana di setiap negeri termasuklah
Istana Negara begitu terlibat aktif apabila ada perkara-perkara besar
melibatkan rakyat samada bencana, upacara agama, keramaian dan sukan.
Tetapi lebih tinggi lagi lantaran sebagai payung agama Islam, apabila
sahaja Tuanku menjiwai agama dengan ilmu dan diterjemahkan melalui
kepribadian dan cara hidup, perhatian rakyat akan pantas teralih ke
arahnya. Ini kerana hari ini rakyat begitu dekat dan memelihara agama
mereka.
Segala amalan dan pengaruh British dan Barat umpamanya sudah semakin
jauh ditinggalkan dan rakyat hari ini mula menobatkan kembali budaya dan
agama sendiri
Apa sahaja usaha dan inisiatif untuk memartabatkan agama dan
perlaksanaannya terus mendapat perhatian dan sokongan rakyat kerana
rakyat semakin matang dan berilmu.
Hari ini diiktiraf dan diakui bahawa Islamlah asas dan pokok yang boleh
menyelamat dan menyatukan ummah dan negara. Rakyat akan mulia dan
terbela apabila Islam dibela dan sebaliknya akan hina dan melarat
apabila Islam dikesampingkan.
Kerana itu apabila rakyat melihat Yang Dipertuan Agong nya memiliki
ciri-ciri seorang Muslim yang sejati, memulia dan mengamalkan agamanya,
rakyat tersentuh hati dan malah semakin sayangkan Baginda.
Inilah yang telah dirasai dan dilihat oleh rakyat Kelantan sejak
bertahun lalu dan inilah yang bakal dikenali dan dilihat oleh rakyat
Malaysia dalam lima tahun pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai Yang
Dipertuan Agong yang ke 15.
Sudah pasti Yang Dipertuan Agong yang ke 15 nanti akan mampu mencetuskan
kebangkitan rakyat sekurang-kurangnya mendorong rakyat jelata
mencontohi akhlak dan keperibadian Tuanku. Ini kerana pepatah Arab ada
menyebut “An-Naasu ‘ala Diini Muluukihim” yang maksudnya “Manusia
(rakyat) itu mengikuti agama (cara hidup) pemimpin mereka”
Semakin baik dan semakin istiqamah Yang Dipertuan Agong, sudah hampir pasti rakyat dan negara juga akan begitu.
Sejarah telah membuktikan Islam berjaya tembus dan sampai ke jajahan
Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Melaka sendiri ketika itu
memilih untuk menganut dan menerima Islam. Agama ciptaan manusia
ditinggalkan kerana menerima agama yang suci dari Tuhan yang satu.
Semoga Sultan Muhammad V tidak akan penat dan terus diberi tenaga dan
ruang untuk melepaskan auranya ke seluruh pelusuk tanahair sepanjang 5
tahun pemerintahan Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong.
Biar maruah dan kehormatan rakyat Malaysia kembali tegak, negara semakin
sejahtera dan maju bebas dari bencana dan malapetaka. Semoga rakyat dan
negara berjaya dikeluarkan dari belenggu ekonomi yang tidak menentu.
Segalanya tidak mustahil apabila Raja dan rakyat berpegang teguh dan
sama-sama membela dan mempertahankan Islam.
Kita sesungguhnya yakin dan percaya kemuliaan syariat Islam akan semakin
terpelihara dan dibela di bawah naungan Yang Dipertuan Agong dengan
dukungan umat Islam, rakyat jelata keseluruhannya.
Allahuakbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan