Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setiap kali berlaku insiden membabitkan angka korban yang tinggi, kajian demi kajian dibuat, namun gagal dilaksana dengan baik.
"Kita dapat lihat cara di Malaysia hanya hangat-hangat tahi ayam dan tidak lama kemudian insiden yang sama berulang lagi dan kita sekali lagi membuat kajian," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau sebelum itu ditemani pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)Dr Salehuddeen Abd Aziz melawat mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan dengan Pagoh.
Ayub berkata sepatutnya pihak berkuasa lebih tegas dalam perkara ini agar ia tidak berulang lagi.
"Kita perlu lebih tegas dan tidak tergugut dengan ugutan pihak tertentu dalam melaksanakan undang-undang demi keselamatan orang ramai kerana nyawa orang ramai perlu diberi keutamaan," katanya.
Ayub berkata satu ketika dahulu pernah ada cadangan agar kotak hitam dipasang pada bas ekspres bagi mengurangkan kemalangan jalan raya namun ia tidak dilaksanakan hari ini.
"Dalam perkara ini, kita sepatutnya mencontohi negara Eropah yang melaksana undang-undang ketat kepada pemandu bas," katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan