Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Dua
veteran Umno membuat penilaian mengenai citra Umno hari ini. Bekas
Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin merumuskan bahawa kerajaan Umno-BN
dilanda krisis defisit kepercayaan yang parah.
Sementara mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyimpulkan
bahawa Umno cuma perlu fokus kedudukannya hari ini dan tumpu perhatian
menambah-baik perkhidmatannya, khususnya pada pengundi Melayu-Islam.
Berbeza Musa, Daim melontarkan tiga unsur yang menyokong hujahnya
bahawa defisit kepercayaan adalah sesuatu yang nyata menghantui kerajaan
Umno-BN dan mengajukan dua langkah mengatasinya.
Musa pula, bersikap seorang veteran yang mengambil sikap memberi
motivasi kepada Umno supaya berikhtiar keluar daripada sebarang kemelut
(jika ada) tanpa menjatuhkan hukuman terhadap “kebersalahan” Umno.
Menurut Daim masalah Umno ada tiga. Pertama, kurang integriti,
kejujuran dan keberanian moral. Kedua, kurang empati dan penggunaan akal
logik di kalangan pemimpin. Ini yang melebarkan lagi defisit
kepercayaan rakyat.
Unsur ketiga, katanya, adalah kecetekan kemahiran mengawal dan
mengawasi ekonomi negara. Penawar pada pemasalahan ini, kata Daim, ada
dua.
Pertama, tubuh pasukan pengurusan ekonomi baru bagi memperbetulkan
ekonomi yang lesu. Kedua, buang mentaliti feudal di kalangan pemegang
amanah negara.
Bagaimanapun Musa tidak membuang masa memberi penilaian berhubung
kerajaan hari ini. Inti komen beliau ialah Umno perlu gilap strategi
memikat pengundi Melayu luar bandar pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.
Katanya, kerajaan perlu meningkatkan lagi momentum kempen dengan
bekerja lebih kuat demi meraih sokongan pengundi Melayu luar bandar.
“Misalnya, faktor utama kemenangan (bekas Perdana Menteri Thaksin)
Shinawatra pada PRU negara itu adalah kerana beliau meraih hampir 100
peratus pengundi di kampung dan pedalaman,” kata Musa.
“Parti (Umno) betul atau salah, biar sahaja ditentukan dalam PRU
nanti,” kata Musa dalam forum “Frankly Speaking” anjuran Universiti
Islam Antarabangsa yang membincangkan buku tulisannya dengan judul yang
sama.
Musa beri motivasi. Namun Daim dalam tulisan yang disiarkan akhbar The
Edge 17 Disember lalu, membentangkan apa yang dianggapnya kelemahan
kerajaan. Ini agak berbahaya dalam iklim politik hari ini.
Musa bersikap negarawan yang memberi nasihat dan semangat. Daim
mengemukakan hujah untuk ‘menghukum’ dan mungkin membenihkan persepsi
bahawa Umno kini lemah, kurang jujur dan lesu integritinya.
Namun perlu diakui bahawa tulisan Daim dalam akhbar The Edge itu pun
menyumbang pada proses Umno memperbaiki prestasi keseluruhannya.
Dengan mengungkapkan bahawa masalah utama Umno menggalas tugas
mentadbir negara hari ini ialah isu ‘defisit kepercayaan’ sebenarnya
sudah cukup membantu mencerahkan laluan Umno mendepani cabaran ini.
Justeru Umno perlu meneliti mengapa ia boleh terjebak dalam masalah
kepercayaan ini? Adakah ia berlaku lantaran kelemahan kepimpinan? Atau,
adakah defisit ini terkumpul dek prestasi jentera/kakitangan kerajaan?
Ini juga harus mendorong Umno untuk bekerja tekun dan saksama dalam
mencari penawarnya. Bagaimana dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan
Umno untuk menampung defisit kerajaan ini?
Daim nungkin sudah berjaya mengungkap atau memberi diagnosis masalah
Umno hari ini. Musa pula bersandarkan pengalaman dan pengamatannya
mengesyorkan supaya Umno mendahulukan usaha melayani keperluan pengundi
Melayu-Islam luar bandar.
Memang banyak program dan strategi dilakar dan dilaksanakan oleh
kerajaan hari ini bagi melegakan rakyat daripada himpitan ekonomi. Daim
pernah menakhodai bahtera ekonomi negara ketika dibadai kemelesetan
ekonomi 1987 dan 1997.
Musa juga pernah melalui cabaran politik yang mengekori musim himpitan
ekonomi pada tahun 1987 sehingga membelah perpaduan dan kesetiaan dalam
Umno.
Bagaimanapun memang lumrah cabaran politik yang bertunjangkan
keserabutan ekonomi menonjolkan cabaran terhadap perpaduan dalam parti,
kerajaan dan negara.
Bagi setiap badaian berangkai ini, ada ciri, pelaku dan isunya. Begitu
juga dalam keadaan sekarang. Selain mengutip dan mengambil iktibar cara
penyelesaian krisis sosio-ekonomi dan politik silam, realiti cabaran
hari ini mesti diteliti.
Tidak seperti kecamuk krisis 1987, 1997 porak peranda 2016 ini juga ada
isunya yang tersendiri. Paling nyata, kemelut kini digalakkan oleh
masalah persepsi. Hal ini dipacu oleh fitnah, berita-berita palsu yang
disemarakkan oleh internet.
Ketika kerajaan bergelut dengan realiti kelemahan sistem ekonomi dunia,
tiang seri kepercayaan rakyat digoncang oleh berita-berita palsu
kenaikan tol, minyak masak, menteri letak jawatan yang boleh menghakis
keyakinan rakyat.
Sebagai negarawan, Musa dan Daim sudahpun menghulurkan sumbangan untuk
memperbaiki keadaan. Setakat ini kedua-duanya belum mahu melangkah masuk
ke gelanggang politik semata-mata untuk mencari jalan penyelesaian.
Kini terpulang kepada pemimpin Umno, BN, dan parti-parti pembangkang
menterjemahkan ‘idea-idea penyelesaian’ ini menjadi strategi politik
yang sopan dan mudah difahami rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan