HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

Lesen pengendali bas terlibat kemalangan ragut 14 nyawa digantung serta-merta

BERNAMA
 
 
Lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd digantung serta-merta Lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd digantung serta-merta

Lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd, pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Km137.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kampung Jayor, Pagoh Johor pagi semalam, digantung serta-merta.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata keputusan itu diambil sehingga siasatan lengkap atas sebab-sebab keselamatan penumpang dan membolehkan siasatan daripada agensi-agensi yang terlibat dilakukan.

"Siasatan sedang diketuai oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), manakala SPAD akan menyiasat pelanggaran syarat-syarat Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

SPAD berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan tindakan keras di bawah peruntukan undang-undang akan dikenakan sekiranya pengendali bas gagal mematuhinya.

"Keselamatan penumpang merupakan keutamaan di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali SPAD, semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka.

Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengendali dan permit pengendali yang didapati telah melanggar keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali," kata kenyataan itu.

Awal pagi semalam, bas berkenaan terjunam ke dalam curam setinggi 10 meter di Kampung Jayor, berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh menyebabkan 14 maut dan 16 cedera.

Tiada ulasan: