HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

Pas akan tersingkir dengan strategi makan keliling .

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar


SHAH ALAM - Strategi Pas yang cuba 'makan keliling' akan hanya menyebabkan parti itu dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, hala tuju tidak tentu Pas boleh menyebabkan parti itu hilang sokongan dan kepercayaan rakyat.


“Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang parti sedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU akan datang adalah suatu kenyataan yang mengelirukan.

“Sementara itu, dalam kenyataan Datuk Dr Mahfodz Mohamad, beliau berkata, sekarang Pas bersendirian dan hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan Pas, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain termasuk BN.

“Kenyataan terbaru ini merupakan lanjutan dari kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membawa maksud yang sama dengan kenyataan Mohd Zuhdi menimbulkan persoalan besar di minda rakyat yang semakin hari semakin tidak jelas ke arah manakah sebenarnya haluan parti yang pernah dianggap sebagai parti pembangkang utama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mohd Zuhdi berkata, parti itu bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana pakatan politik selepas pilihan raya umum akan datang untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Kata Mahfuz, baik BN mahu pun blok pembangkang Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terlalu naif untuk merelakan diri berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada Pas bagi membentuk kerajaan setelah memperhalusi 'strategi' parti mereka.

“Budaya politik tak tentu hala Pas sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap Pas dalam menghadapi PRU14?

“Saya percaya rakyat dan ahli Pas akan menjarakkan diri dari parti apabila menyedari parti hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan 'alat tawar menawar' dengan mana-mana pakatan politik yang menang,” katanya.


Tiada ulasan: