HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Disember 2016

Persatuan mahasiswa minta bantuan tandatangani petisyen bebaskan Asheeq Ali

 
Roketkini.com
 
 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Student Unity Front (SUF) hari ini meminta jasa baik orang ramai untuk menandatangani petisyen mendesak universiti itu menggugurkan segala dakwaan ke atas aktivis mahasiswa, Asheeq Ali. 
 
Petisyen itu boleh ditandatangani di laman web http://www.ipetitions.com/petition/asheequkm

Asheeq yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Malaysia sebelum ini telah dikenakan hukuman gantung satu semester dan denda RM200 hanya kerana terlibat dalam himpunan Tangkap MO1 yang diadakan di ibu negara pada 27 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Asheeq bertegas bahawa beliau hanya mahu mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap ‘Malaysian Official 1’, individu yang disebut Jabatan Kehakiman Amerika sebagai terlibat dengan penyelewengan dana syarikat 1MDB.

Setiausaha SUF, Chong Kar Yan berkata alasan UKM bahawa keterlibatan Asheeq dalam perhimpunan TangkapMO1 sebagai memalukan universiti dan melanggar undang-undang adalah karut sama sekali.

Malah, katanya, UKM harus berhenti menghukum pelajar hanya kerana berani menyatakan pendirian politik mereka kepada umum.

Sebaliknya, tambah Kar Yan, universiti memainkan peranan dalam menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan meluahkan pendapat mereka mengenai dasar politik dan ekonomi negara tanpa rasa takut.

“Universiti di Malaysia harus melihat dasar-dasar universiti di negara maju yang mampu melahirkan pelajar berkebolehan, bukan saja di peringkat nasional, tetapi juga di arena antarabangsa.

“Tindakan UKM menghukum Asheeq hanya kerana kegusaran beliau ke atas situasi politik negara memberi kesan negatif dan merosakkan imejnya sebagai salah satu universiti terbaik negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Kar Yan meminta semua pihak agar menandatangani petisyen bagi membebaskan Asheeq dari dakwaan-dakwaan tidak berasas UKM, sekaligus dapat meneruskan pengajiannya pada semester hadapan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: