HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

Kelangsungan PPBM bergantung pada ihsan PAS?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan berazam mahu menguburkan Umno kerana bencikan presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Apa pun terjadi pada Umno bukan jadi perkiraan lagi kerana sudah putus kasih sayang dengan parti leluhur mereka itu. Maka dibangunkanlah PPBM sebagai sebuah parti yang mempunyai benih Melayu-Islam seperti Umno. 
 
Mereka yakin hanya parti bersifat dan bercirikan Umno boleh membenamkan Umno. Lantas tiadalah dalam sifir mereka mahu menjadikan PPBM sebuah parti nasional meliputi keahlian pelbagai kaum dan agama.
 
Didorong oleh nafsu mahu menurunkan Najib dan cepat pula menamatkan sejarah Umno, PPBM berharap soal mendapatkan sokongan bukan Melayu dapat diraih melalui wadah politik bukan Melayu sedia ada seperti DAP dan PKR.
 
Sebab itu, PPBM segera menggabungkan diri dengan perjuangan PKR yang ada sebilangan ahli bukan Melayu dan DAP untuk merangsang rakyat bukan Melayu yang bencikan Umno-BN supaya turut menyokong PPBM.
 
Bagaimanapun pengalaman 50 tahun DAP dan 18 tahun PKR berpolitik mengajar mereka supaya tidak gopoh. Meskipun berkongsi kebencian terhadap Umno, mereka berhati-hati melayan semangat PPBM mahu menumbangkan Umno-BN.
 
Anehnya Tun Mahathir rupanya mudah mabuk dengan adab hormat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang. Maka menjelmalah kembali sikap “angkuh” lamanya yang membuatnya mabuk kuasa. 
 
Lantas tanpa berfikir panjang beliau mengumumkan di London bahawa jika pembangkang menang dalam pilihanraya umum ke-13, presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan jadi perdana menteri. 
 
Keyakinan diri melampau ini memberi isyarat merah pada pemimpin-pemimpin pembangkang lain terhadap “bahaya” Mahathir. Sekonyong-konyong timbul persoalan, bolehkah Mahathir ini dipercayai?
 
Tun M perlu ukur kekuatan PPBM
 
Ego Mahathir mula digugah oleh DAP, PKR dan Amanah apabila angin pilihanraya bertiup semakin kencang. Barulah PPBM sedar ukuran pengaruh dan kekuatannya terletak pada berapa banyak kerusi yang bakal dimenanginya.
 
Namun sebelum itu, yang lebih penting lagi ialah berapa banyak kerusikah (Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat) yang patut dan boleh ditandinginya. 
 
Ini meletakkan PPBM di persimpangan. Modal kekuatan pengaruh yang ada padanya ialah kemungkinan ahli Umno yang tidak selesa dengan kepemimpinan Najib akan berhijrah menyertainya. 
 
Bagaimanapun Perhimpunan Agung Umno awal bulan ini mempamerkan bahawa penekanan terhadap isu kesetiaan atau wala’ di kalangan ahli Umno terhadap pemimpin amat semarak dibicarakan. 
 
Malah perhimpunan berkenaan juga secara terbuka mengenalpasti bekas ahli yang menuntut wala’ diberikan kepada mereka ketika memimpin Umno kini mengkhianati ideologi itu dengan menghasut supaya menjatuhkan presiden. 
 
Apabila dikalungkan dengan jenama pengkhianat, pemimpin-pemimpin ini bukan sahaja terputus nasab keturunannya dengan Umno malah mulai dicerca dan dibenci sebagai musuh tegar.  
 
Dalam keadaan demikian, DAP dan PKR tidak boleh membantu banyak pada PPBM. Tanpa rekod pilihanraya, PPBM terpaksa berbaik dan berharap ihsan PAS yang juga sebuah parti Melayu-Islam tegar. 
 
Kerjasama dan simpati PAS akan mengizinkan PPBM menentukan berapa kerusi yang ia boleh tandingi. Namun tidak semudah itu PAS dipujuk. Ia tetap tidak mahu melepaskan semua kerusi tradisi yang pernah ditandinginya. 
 
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan: "Setakat ini pendirian PAS adalah untuk tidak menyerahkan kerusi kami. Kami tidak akan kacau kerusi parti lain." 
 
Malah seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, isu berkaitan rundingan kerusi di antara partinya dan PPBM perlu diperhalusi terlebih dahulu oleh jawatankuasa tertinggi PAS. 
 
"Parti belum lagi memutuskannya secara rasmi. Kita baru buat penyelidikan... Cuma masa ini kita bersama mereka (PPBM) sudah sepentas. Itu biasa. Kita (PAS) belum berbincang lagi mengenai itu," katanya.
 
PPBM sedar tak mudah PH beri laluan
 
Di peringkat ini Mahathir dan Muhyiddin tentu sedar bahawa bukan mudah bagi PKR, DAP dan Amanah yang membentuk Pakatan Harapan (PH) mahu memberi jalan kepada PPBM untuk memintas pengaruh mereka.
 
Pewaris Pakatan Rakyat (PR) itu insaf betapa PH kini tidak sekuat pengaruh PR suatu masa dahulu. Malah prestasi Amanah sebagai pengganti PAS masih samar untuk melonjakkan pengaruh PH menyamai apatah lagi mengatasi PR.
 
PKR pula mula bertegas dengan PPBM apabila Naib Presidennya, Tian Chua menyarankan PPBM memujuk sahaja PAS untuk mendapatkan kerusi bagi membolehkan mereka bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
 
Tian Chua dilaporkan berkata, sasaran undi PPBM adalah di kalangan pengundi Melayu, lantas ia harus meyakinkan PAS memberi laluan untuk ia bertanding memandangkan kebanyakan kerusi berkenaan adalah milik tradisi PAS.
 
Kata Tian yang juga Ahli Parlimen Batu, PH tidak akan memberikan kerusi kepada PPBM walaupun mereka menandatangani perjanjian politik baru-baru ini.
 
Yang lebih menggusarkan ialah ada laporan bahawa baik DAP mahupun PKR ‘tidak senang’ jika PPBM cuba meletakkan calon di Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap “wilayah” milik mereka.
 
Ruang dan peluang PPBM nampaknya semakin sempit untuk muncul sebagai satu kuasa politik besar dan berpengaruh menjelang dan selepas PRU ke 14.
 
Harapan penuh PPBM kini adalah pada PAS. Sebab itu PPBM ‘tidak berselera’ untuk menjadi ahli penuh PH yang kini dimaklumi masih mencurigainya. 
 
Sikap PAS bertentangan dengan pembangkang
 
Malang bagi PPBM, PAS pula masih agak liat untuk menyatakan pendirian mahu bekerjasama dengannya hanya berdasarkan pada sebab “benci Najib” sahaja. 
 
Sebenarnya PAS mempunyai banyak sebab untuk mencurigai PPBM. Selain sikap membenci Najib yang agak bertentangan dengan akhlak dan ideologi politik “matang-sejahtera”nya, ada episod sejarah yang mempengaruhi sikapnya itu. 
 
Ketika Mahathir di puncak kediktatorannya, Almarhum Presidenya, Datuk Fadhil Nor ada meninggalkan kata-kata hikmat mengenai Mahathir yang kini dirasakan amat jelas kebenarannya oleh ahli-ahli PAS. 
 
Almarhum berkenaan menasihat ahli-ahli PAS jangan mendoakan perkara-perkara buruk terhadap Mahathir kerana sifat “Maha Firaunnya” ketika itu.
 
Sebaliknya beliau mengesyorkan mereka supaya mendoakan Mahathir panjang umur dan sihat supaya “akan melihat sendiri kesan” semua kezaliman yang telah dilakukan ketika berkuasa. 
 
Kini Mahathir bak cacing kepanasan. Atas nama benci pada Najib beliau cuba menyemarakkan semangat rakyat supaya menjatuhkan perdana menteri yang pernah menjadi pilihannya itu.
 
Bagaimanapun Mahathir kini terpaksa berpaut pada ihsan PAS yang pernah diremehkannya sebagai tidak arif soal sunnah Rasulullah s.a.w. yang menyimpan misai dan janggut kerana pada zaman baginda tidak wujud pencukur Gillete. 


Tiada ulasan: