HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

PBB perlu berubah atau rebah

Dr. Muzaffar Syah Mallow, 
Gambar REUTERS/Lucas Jackson


Ramai pihak kini sudah menganggap PBB tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1945 yang lalu. PBB ditubuhkan lebih 70 tahun yang lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) yang telah menyaksikan jutaan kematian manusia dinegara – negara yang terlibat dengan peperangan berkenaan.

Pada asalnya, PBB dianggotai oleh 51 buah negara dunia. Kini ia sudah mempunyai 193 buah negara anggota. Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara – negara dunia serta mengekalkan suasana aman dan harmoni diantara semua negara dunia.

Namun matlamat ini tidak membawa apa – apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan berkenaan kekal relavan serta efektif dimata dunia.

Antara faktor utama yang menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ianya dilihat masih didominasi oleh kuasa – kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja didominasi oleh kelima – lima kuasa dunia berkenaan malah PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB sendiri.

Antara kuasa yang diberikan kepada kelima – lima negara ini ialah kuasa veto. Kelima – lima buah negara ini boleh mengunakan kuasa veto yang telah dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan.

Kuasa veto yang dimiliki oleh lima buah negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit telah pun wujud semenjak penubuhan PBB semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua yang lalu.

Walaupun tiada peruntukkan khusus mengenai kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945, namun jika dianalisa dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh pihak Majlis Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima negara – negara angota tetap Majlis Keselamatan terbabit.

Pengunaan kuasa veto yang dimiliki oleh negara – negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati oleh negara – negara angota PBB sendiri.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima – lima buah negara berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik kelima – lima negara berkenaan.

Antara yang teruk menerima impak akibat daripada salah guna kuasa veto terbabit ialah penduduk Palestin yang menghadapi kezaliman daripada rejim Israel semenjak penubuhan negara Isreal pada tahun 1948. Banyak resolusi yang telah dikeluarkan oleh pihak PBB yang menentang Israel telah di veto oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat.

Akibat daripada ini, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri – siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin.

Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia dimana pada tahun 2015 yang lalu pihak Rusia telah menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan, PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori oleh Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada tahun 2014 yang lalu yang telah mengorbankan seramai 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.

Pada tahun 2014 yang lalu juga, Rusia dan China telah mengunakan kuasa veto mereka menghalang resolusi yang telah dipersetujui oleh banyak negara bagi membawa isu peperangan di Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pengunaaan kuasa veto yang dimiliki oleh kelima – lima negara terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati oleh negara – negara angota PBB sendiri.

Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa – apa makna dimata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ianya kekal relavan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana – mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima – lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukkan khas diberikan pada mana – mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain dalam PBB itu sendiri.

Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mana – mana negara anggota tertentu. Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan, PBB sudah pasti akan rebah seperti yang berlaku terhadap pertubuhan antarabangsa Liga Bangsa 70 tahun yang lalu.

Tiada ulasan: