HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

Najib yang beri hak kepada saya sertai perhimpunan – Asheeq Ali




Oleh Fatih Hassan Nordin; Foto oleh Wan Ahmad Yusufi


KUALA LUMPUR: Aktivis mahasiswa, Asheeq Ali berkata tidak salah baginya untuk menyertai perhimpunan aman Tangkap MO1 kerana beliau hanya menggunakan hak yang ‘diberikan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, Najib pada empat tahun lalu telah meminda Akta Universiti dan Kolej (AUKU) bagi membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik.

Justeru, katanya, tindakan UKM menggunakan akta tersebut bagi menghukumnya kerana menyertai perhimpunan tersebut dilihat sebagai tindakan zalim dan harus ditentang.

“Datuk Seri Najib Razak sendiri pada 2012 telah meminda AUKU – pelajar universiti boleh mengekspresikan diri mereka secara politik.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming

“Saya hanya menggunakan hak saya yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri semasa membentangkan pindaan AUKU 2012,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Asheeq yang juga Presiden Student Unity Front (SUF) UKM telah digantung selama satu semester dan didenda sebanyak RM200 oleh pihak universiti setelah diputuskan bersalah memalukan institusi itu dengan penglibatannya dalam perhimpunan pada 27 Ogos berkenaan.

MO1 atau Malaysian Official 1 adalah karakter yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika dan didakwa menerima sejumlah US$731 juta yang dipercayai berpunca daripada syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

MO1 dirujuk secara meluas sebagai Perdana Menteri dan ia diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, pihak UKM seharusnya bangga dengan tindakan Asheeq dan rakannya kerana prihatin dengan isu semasa yang melanda negara.

“Perhimpunan Tangkap MO1 ini sepatutnya disanjungi. Pihak universiti patut melihat aksi mahasiswa ini sebagai sesuatu yang tidak memalukan universiti, sepatutnya membanggakan universiti kerana mereka menunjukkan bahawa mereka mengambil berat isu negara,” katanya.

Sementera itu, menyifatkan Asheeq sebagai anak muda yang berani, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin justeru menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyokong bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya untuk terus menyuarakan isu semasa negara.

“Jika kita sebagai orang awam tidak sokong dari segi tindakan, mereka akan lawan secara bersendirian, jadi kita harus menyokong mereka,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: