HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Disember 2016

PPBM dakwa dapat sokongan ahli PAS Kelantan

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina Saadudin berkata terlalu awal untuk Umno Kelantan membuat kenyataan berhubung prestasi parti serpihannya itu di negeri berkenaan.
 
Malah beliau mendakwa bukan hanya ahli Umno menyokong parti itu, malah mereka turut mendapat sokongan daripada ahli PAS Kelantan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
 
Kata Anina lagi, hanya pengundi yang boleh memberikan kata putus samada parti teraju bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu diterima atau tidak di negeri itu.
 
"Sokongan rakyat itu diterjemahkan di atas kertas undi sekiranya Datuk Seri Mustapa Mohamed memberikan komen yang terlalu awal sebegitu bermaksud dia bimbang dengan kehadiran Bersatu (PPBM) kerana parti ini bukan hanya mendapat sokongan ahli (Umno) sahaja tetapi juga daripada pihak ahli PAS Kelantan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam berkata kehadiran PPBM di Kelantan tidak akan memberi kesan kepada Umno BN dan tidak akan melemahkan semangat Umno untuk terus bekerja membela nasib rakyat negeri itu.
 
Malah beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut berkata, walaupun PPBM mempunyai beberapa bekas pemimpin Umno dan berusaha memenangi hati rakyat, ia tidak bermakna parti itu kuat. 
 
"Kalau Datuk Seri Mustapa Mohamed terlalu awal tampil untuk memberikan komen mengenai sokongan rakyat tidak berbelah bahagi kepada Umno di Kelantan, dia perlu sedar bahawa Umno tidak pernah menang pun selama ini di Kelantan," bidas Anina terhadap kenyataan Mustapa.
 
Dalam perkembangan lain, Anina berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan selaku kepimpinan parti itu ekoran pertuduhan skandal seks yang melibatkan dirinya baru-baru ini.
 
Ia ekoran tersebarnya transkrip perbualan lucah melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, yang didakwa melibatkan Anina bersama seorang lelaki.
 
"Saya bukan ahli politik dan seperti mana yang sedia maklum di Malaysia ini cara paling mudah untuk menjatuhkan seorang pemimpin adalah melalui skandal seks, saya sebagai pejuang rakyat dan bukan ahli politik. Saya tidak melayan isu-isu sebegini," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: