MALAYSIAKINI
Dakwaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah dan oleh itu, menyalahi undang-undang adalah mengelirukan kerana beliau sendiri melancarkan skim yang sama semasa era pemerintahannya, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah memperkenalkan Wang Ehsan untuk rakyat Terengganu.
Wang Ehsan yang merupakan bayaran oleh kerajaan Persekutuan sebagai ganti kepada royalti minyak digunakan oleh kerajaan negeri untuk mengagihkan bantuan, sama seperti BR1M mulai dari tahun 2000, kata Salleh.
PAS mentadbir Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.
"Selepas melaksanakan program bantuan Wang Ehsan dan Terengganu pada tahun 2000, Mahathir kini menukar pendirian dan mengutuk BR1M.
"Adakah Mahathir ingin katakan jika pembangkang berkuasa kelak, semua program bantuan dan kebajikan akan dimansuhkan? Mahathir perlu menjelaskan tentang perkara ini," kata Salleh dalam kenyataan.
Beliau berkata jika program bantuan adalah rasuah, maka pengurangan zakat dan cukai juga adalah sama.
Semalam, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.
Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.
“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan