HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Disember 2016

4 panduan Quran, hadis berdepan fitnah maklumat


 
Oleh DR MUHAMAD FAISAL 

4 PANDUAN DARI QURAN DAN HADIS DALAM BERHADAPAN DENGAN ERA FITNAH MAKLUMAT

*Maklumat yg betul tak best, maklumat khabar angin sangat best sebab ada rencah dan perisa*

Penyebaran khabar angin terhasil dari sikap gopoh gapah, gelojoh, tanpa usul periksa dan tanpa berfikir secara waras. Jari jemari bergerak lebih pantas dari mindanya. Kadang-kadang, banyak pula maklumat yang disebarkan itu tidak dibaca pun.

Penyebaran khabar angin ini juga lahir dari sikap berasa hebat dan dilihat sebagai orang yang serba tahu dan berlumba menjadi orang paling awal tahu. Dari satu sudut, memang sikap ini baik kerana niatnya ingin menyampaikan maklumat kepada orang lain merupakan sikap yang baik. Akan tetapi, oleh kerana banyak maklumat yang bersifat khabar angin di alam maya, sikap berhati-hati dalam menyebarkan maklumat perlu diamalkan dan dibudayakan.

Adakalanya maklumat tersebut disebar dalam bentuk pertanyaan "betul ke ni?, atau "sapa boleh sahkan?”. Tetapi sebenarnya, dalam sesetengah keadaan ia juga menyumbang kepada penyebaran khabar angin. Dalam ramai yang tidak tahu, telah mula tahu.

Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Seseorang itu boleh dianggap sebagai berdusta apabila menyebarkan setiap berita yang dia dengari. (Riwayat Muslim)

Dalam menyelesaikan kemelut ini, terdapat 4 panduan yang perlu diamalkan.

1- Dapatkan penjelasan dan maklumat lanjut ketika menerima berita khabar angin

Elakkan dari membuat spekulasi dan sangkaan serta membina persepsi yang buruk ketika menerima sesuatu khabar angin. Pengesahan ini penting terutamanya apabila melibatkan perkara yang besar. Banyak contoh yang kita telah jumpa sebelum ini berita tentang kematian seseorang telah tersebar sedangkan dia masih lagi sihat. Sebaiknya, tunggulah hingga ke petang, atau pun hingga ke malam, atau pun hingga esok atau beberapa hari, sebelum mempercayai sesuatu maklumat apatah lagi menyebarkannya.

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya). Akhirnya kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6)

2- Tidak memandai-mandai

Sejak alat media berada di tangan masing-masing, semua orang boleh menulis apa sahaja yang dia mahu, biarpun perkara itu dia tidak tahu, atau mempunyai maklumat yang sedikit mengenainya. Oleh itu, elakkan dari ghairah untuk menunjuk pandai dengan menulis tentang perkara ia jelas mengenainya. Rujuk kepada pihak yang lebih arif untuk kejelasan. Allah berfirman:

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ

Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka rujuk perkara itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. (Surah al-Nisa’: 83)

3- Kurangkan pergerakan maklumat bagi mengurangkan polemik

Oleh kerana banyak maklumat yang bercampur baur antara yang betul dan palsu sehingga menimbulkan kekeliruan, kekacauan, perbalahan, pemusuhan malahan peperangan. Rasulullah menyarankan agar mengambil sikap untuk tidak memanaskan lagi keadaan yang sedia ada. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih Riwayat Bukhari dan Muslim:

انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي

Maksudnya: Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.

Ketika berlaku fitnah yang besar, elakkan dari memanaskan lagi keadaan. Dalam sesetengah keadaan, diam itu kadangkala lebih baik dari turut memburukkan lagi keadaan. Kalau ingin menyertai perbincangan itu, fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk merumitkan lagi keadaan.

4- Segera buat kerja dan amal soleh. Tinggalkan berpolemik

Rasulullah menyarankan agar segera melakukan ibadat dan tinggalkan berpolemik. Ia bukan masanya untuk bercakap lagi. Banyakkan amalan, tinggalkan banyak cakap.

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( بادروا بالأعمال الصالحة فستكون فتنا كقطع الليل المظلم يصبح الرجل مؤمنا ويمسى كافرا ويمسى مؤمنا ويصبح كافرا يبيع دينه بعرض من الدنيا ) رواه مسلم

Maksudnya: Bersegeralah melakukan amal soleh kerana akan terjadi fitnah-fitnah laksana malam yang gelap gelita. Seseorang itu beriman pada pagi hari, namun pada waktu petang ia menjadi kafir pula. Ia rela menjual agamanya dengan sedikit harta dunia”.

Tiada ulasan: