MALAYSIA TODAY
(Sinar Harian) – Pakatan pilihan raya atau pengagihan kerusi dalam
pilihan raya oleh pakatan pembangkang sangat kritikal dalam
merealisasikan strategi satu lawan satu.
Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Mohd
Izani Mohd Zain berkata, berdasarkan PRU 2008 dan 2013, berlaku
pertembungan tiga penjuru apabila parti pembangkang gagal capai kata
sepakat untuk meletakkan seorang calon melawan BN.
“Apa yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden PKR itu adalah satu
tindakan politik yang berjiwa besar. Cuma isunya, parti politik mana
yang sanggup mengorbankan kerusi mereka kepada Bersatu?
“Jika ya diberi kepada Bersatu, pastinya fokus parti itu (Bersatu)
kepada kawasan majoriti Melayu, sedangkan kawasan Melayu biasanya
kawasan Pas,” katanya.
Mohd Izani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan kesediaan PKR
untuk berunding memberi laluan kepada Bersatu dalam soal pembahagian
kerusi pada PRU14.
Bagi Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat
Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib
pula, beliau berpendapat, PKR sebenarnya diancam kepupusan dan
kemusnahan kerana kerusi mereka (PKR) berpotensi dalam pertembungan tiga
penjuru antara BN, Pas dan PKR.
“PKR sedar tanpa kerjasama dengan Bersatu dan sokongan kumpulan pro
Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka terancam akibat digugat oleh Pas yang
mahukan pertembungan pelbagai penjuru.
“Lagipun, kebanyakan pemimpin kanannya (PKR) daripada kalangan bekas
orang Umno dan Bersatu pun sama, jadi pemupukan kerjasama PKR dan
Bersatu lebih mudah. Apa yang Azmin katakan itu petanda toleransi
supaya, baik PKR mengalah, paling kurang kerusi mereka mungkin dapat
diselamatkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan