Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata beliau
berhak mengulas hasrat Amanah mahu bertanding di 40 buah kerusi
termasuk milik PKR dan PAS, berikutan ia disuarakan secara terbuka.
Iskandar dalam sidang medianya semalam menyifatkan parti Amanah sebagai
'tidak amanah' selepas berhasrat mahu 'mencuri' kerusi rakan sekutunya
sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
"Kenyataan untuk bertanding di kerusi-kerusi PKR telah dibuat secara
terbuka. Maka adalah tidak wajar untuk menghalang sesiapa membuat ulasan
kepada satu kenyataan yang dibuat secara terbuka itu.
"Jika tidak mahu sebarang ulasan terhadap hasrat tersebut maka tidak
perlu membuat kenyataan secara terbuka. Bincanglah secara dalaman," ujar
Iskandar menerusi kenyataan medianya, hari ini.
Namun tambah Iskandar, Amanah kini bukan sahaja terdedah kepada reaksi
negetif daripada PKR tetapi bergelut untuk meyakinkan penyokongnya
apabila pemimpin mereka tampil menyatakan kenyataan yang bercanggah
sesama mereka.
Pada mulanya, Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad mengumumkan hasrat
bertanding di 40 buah kerusi termasuk kerusi PKR dan PAS, namun ia
disanggah timbalan presidennya, Salahuddin Ayub.
"Tetapi rakyat sekarang menjadi semakin keliru apabila seorang lagi
pemimpin tertinggi Amanah yang telah membuat kenyataan balas iaitu
Amanah tidak akan bertanding di kerusi-kerusi PKR.
"Mungkin ia satu tindakan "damage control" tetapi terserlah kecelaruan
yang wujud di kalangan kepimpinan tertinggi Amanah," ujar Iskandar
lagi.
Khalid, ketika dihubungi Antarapos hari ini untuk menjelaskan kerusi
PKR yang menjadi sasaran Amanah adalah kerusi yang gagal dimenangi pada
pilihan raya lalu.
Sementara itu, Iskandar yang juga ADUN Chempaka berpendapat kecelaruan
yang wujud dalam Amanah pada hari ini berkemungkinan menjadi punca
kepada desakan supaya parti itu digabungkan dengan PKR.
"Tidak hairanlah terdapat pemimpin Pakatan Harapan yang mahu PAN
dibubarkan dan ahli-ahlinya diserapkan ke dalam parti-parti lain,"
ujarnya.
Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin baru-baru ini
mencadangkan supaya PKR dan Amanah digabungkan dalam menghadapi PRU14,
memandangkan ia mempunyai nilai politik yang sealiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan