PUTRAJAYA: Hasil siasatan awal kemalangan bas ekspres Alisan Golden
Coach di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 24 Disember
lalu yang mengorbankan 14 nyawa, menunjukkan pemandu bas berkenaan
kemungkinan tertidur ketika memandu.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia
(MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata terdapat juga petunjuk bahawa
bas itu dipandu melebihi 110 kilometer sejam (km/j), walaupun had
kelajuan bas adalah 90 km/j.
"Berdasarkan dinamik pergerakan bas memberikan petunjuk itu (pemandu
tertidur), tetapi kita perlu menjalankan analisis lanjut bagi
memastikannya termasuk bagaimana syarikat bas menguruskan pemandu.
"Ini hanya petunjuk berdasarkan siasatan awal. Laporan siasatan awal
ini akan dibentangkan dalam tempoh seminggu lagi kepada Menteri
Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai), manakala laporan akhir dalam
tempoh sebulan selepas itu," katanya selepas menghadiri Mesyuarat
Lembaga Pengarah MIROS Keempat 2016 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.00 pagi, 24 Disember lalu, 14 mangsa
termasuk pemandu maut, selepas bas yang mereka naiki terbabas ke dalam
cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah
utara dekat Pagoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan