Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Dalam
usaha untuk meremehkan parti leluhurnya PAS, pemimpin-pemimpin Amanah
nampaknya hanya menyerlah kegoyahan akidah politik mereka sebagai sebuah
parti Islam.
Malah kritikan Amanah terhadap PAS mempamerkan kedangkalannya berhubung
konsep dakwah sesebuah parti Islam seharusnya membina keunggulan Islam
dan bukan jadi wadah untuk berebut kuasa.
Katanya, PAS hanya akan 'membantu' memulihkan tanggapan negatif
terhadap Umno Barisan Nasional (BN) dengan menyertai program bersama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Pendekatan yang mereka (PAS) buat, kalau dalam bahasa Inggeris
'putting the cart before the horse' iaitu tak tahu prioriti dan buat
perkara yang sepatutnya dikemudiankan tetapi diutamakan dulu.
"(Tindakan itu) cukup tidak sesuai bagi (pandangan) kami. Ia memberikan
nafas baru dan talian hayat baru bagi Umno-BN dengan seolah beri
gambaran Umno mahukan Islam dan sebagainya," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, pendekatan sedemikian menjadi
antara punca mengapa sebahagian ahli parti dahulu bertindak
meninggalkan PAS.
"Pendekatan PAS yang baru yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, dia
boleh sokong BN dan sebagainya, dan itulah sebabnya kita berpisah kerana
kita tak bersetuju dengan pendekatan itu,” katanya.
Jika Umno tersasar landasan Islam, tugas siapa bimbing parti itu?
Kenyataan Amanah itu nyata tersasar dari konsep politik Islam yang
seharusnya mengutamakan dakwah. Jika Umno dilihat terbabas dari landasan
Islam, maka menjadi tanggungjawab Amanah membantunya kembali ke pangkal
jalan.
Bagaimanapun apa yang dilakukan pimpinan PAS kini ialah menerangkan
pada umum (rakyat muslim dan bukan Islam) untuk memahami lebih dekat
pengertian syariah yang telah ditentukan Allah.
Satu perspektif daripada perintah ini ialah membuktkan bahawa hukum
syariah adalah yang terbaik untuk mewujudkan masyarakat berbilang kaum
yang harmonis mengikut jiwa syariah Islam.
Bagaimanapun dengan mengambil pendirian untuk meremehkan usaha ke arah
itu, maka Amanah sebenarnya mengipas rasa syak wasangka terhadap
kemuliaan syarak.
Seharusnya sebagai bekas pemimpin PAS yang pernah terbabit menyusun
pindaan akta syariah itu, jiwa dakwah pemimpin-pemimpin Amanah
seharusnya tidak “kering dan mati” hanya kerana ‘mahu memenangi hati
rakan politik bukan Islam’, terutamanya DAP.
Malah pendirian pemimpin-pemimpin Amanah nampaknya dikalutkan nafsu
untuk menang pilihanraya dan bukan mahu meneruskan usaha dakwah
sepenuhnya.
Kini Umno mulai memahami keutamaan apa yang diperlukan untuk
menghidupkan perintah Allah, walau apa jua latarbelakang pemikiran
mereka sebelum ini.
Janganlah menilai amal dan perbuatan orang lain dari kacamata politik
sahaja. Ini kerana hidayah itu hakmilik mutlak Allah. Jika Umno mahu
berubah, Alhamdulillah.
Jika natijah dakwah PAS maka Umno sedar tanggungjawab memperkasakan
perundangan Allah, maka ucapan tahniah seharusnya diberikan pada PAS
kerana dakwahnya dan bukan menyerangnya. PAS tetap pembangkang.
Malah jika Amanah benar-benar sebuah parti Islam maka dakwah terdekat
yang wajib diusahakannya ialah menasihati Tun Dr Mahathir yang cuba
mengambil alih hak Allah menentukan amalan haji siapa yang mabrur dan
siapa tidak.
Jika Amanah lengah akan tanggungjawab ini, adalah dibimbangi di segi
politik ini Amanah akan menjadi penganut fahaman Machiavelli Mahathir
pula.
Sebenarnya Mahathir masih berhutang pada umat Islam. Beliau pernah
meremehkan sunnah Rasulullah s.a.w. perihal memelihara misai dan janggut
sebagai sunnah membezakan perawakan Muslim dengan Nasrani dan Majusi.
Sepatutnya sebagai parti Islam, perwatakan politik Mahathir seharusnya
dinilai dari segi pemikirannya meliputi amal perbuatan yang bersangkutan
soal menghidupkan sunnah dan bukan meremehkannya.
Jika PAS sahaja berusaha 'pimpin' Umno perkasakan Islam, apa tugas Amanah?
"PAN (Amanah) menjadi penyapu kepada imej DAP yang anti Islam dengan
pelbagai lagak dan gaya. Khalid Samad sendiri menjadi hero yang
membentengi agenda DAP termasuk menentang agenda memperkasakan RUU
355.
"Kehadiran (PAS) dalam program penjelasan RUU 355 anjuran Kelab Umno
adalah siri penerangan bagi menjelaskan bahawa PAS sentiasa konsisten
memperjuangkan Islam," ujar Khairuddin.
Ujar Khairuddin lagi, PAS kini mula berlapang dada apabila usaha
dakwahnya kepada Umno bersabit keperluan memperkasakan Islam, semakin
membuahkan hasil.
"Jika Umno bersedia membantu PAS dalam usaha RUU 355 menunjukkan bahawa
Umno semakin menerima kepentingan bersama memperkasakan Islam.
"Itulah kejayaan dakwah PAS. PAS akan terus membina imej sebagai pejuang agama di mata ahli-ahli Umno.
"Apabila orang seumpama Khalid meroyan dengan kehadiran pimpinan PAS di
majlis penjelasan Islam anjuran Umno sendiri ia menunjukkan PAN
(Amanah) sangat bimbang dengan peningkatan imej PAS di mata rakyat,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan