HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Januari 2017

Krisis 1MDB: Reformasikan segera institusi Peguam Negara

ARIF ATAN
 
 
Ahmad Zamri Asaad KhuzaimiAhmad Zamri Asaad Khuzaimi


Krisis 1MDB yang sudah menjadi bualan masyarakat antarabangsa menyaksikan perlunya institusi Peguam Negara segera direformasikan, tegas Pengerusi Kanun Amanah Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Menurutnya, institusi Peguam Negara yang mempunyai kuasa budi bicara mutlak untuk memulakan prosiding pendakwaan tetapi tidak mendakwa sesiapa atas sesuatu kesalahan, perlulah dirombak.

"Peguam Negara perlulah bertanggungjawab di Parlimen atas segala keputusan yang diambil melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

"Untuk itu, Perkara 145 (3) Perlembagaan  Persekutuan perlulah dipinda supaya kes-kes yang melibatkan maruah negara dan kepentingan rakyat terbanyak seperti skandal 1MDB ini dapat diadili dengan seadil-adilnya dan pesalahnya didakwa di mahkamah, seperti mana yang sedang dilakukan oleh negara-negara lain yang lebih bermaruah dengan sistem perundangan yang penuh integriti," jelasnya.

Beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline berkata, skandal 1MDB menyaksikan sekurang-kurangnya tiga negara mengambil tindakan undang-undang berhubung pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit.

"Di Singapura sahaja dua bank telah pun diarahkan oleh kerajaan Singapura untuk ditutup dan tiga pegawai bank yang terlibat dengan skandal 1MDB ini didakwa, dibicara dan dipenjarakan," ujarnya.

Walau bagaimanapun, di Malaysia yang merupakan 'tanah kelahiran' skandal kewangan terbesar di dunia ini, bidasnya, masih tidak kedengaran lagi sebarang tindakan undang-undang yang diambil terhadap pelaku-pelakunya.

"Jho Low, Riza Aziz dan Najib Razak yang terpalit dengan skandal raksasa ini masih terus disucikan oleh sistem perundangan yang tempang walaupun bukti-bukti yang dihidangkan di mahkamah luar negara sudah terlalu jelas dan nyata.

"Bukan sahaja masih tiada sebarang pendakwaan dibuat, malah siasatan pun telah dihentikan oleh pihak berkuasa! Nama-nama di atas masih terus disucikan tanpa sebarang pendakwaan dari Peguam Negara. Mereka masih terus bergerak ke sana sini tanpa rasa bersalah sedikitpun, malah tanpa rasa malu menggunakan harta dan kenderaan kerajaan yang dibayar dengan duit pembayar-pembayar cukai," jelasnya.

Mengulas lanjut, Zamri menyifatkan rakyat perlu menuntut reformasi perundangan yang menyeluruh dalam negara supaya keadilan bukan sahaja dilakukan tetapi mestilah dapat dilihat dilakukan oleh pihak berkuasa dan mahkamah (justice must not only be done, but must be seen to be done).

"Di saat kita menyaksikan pesalah-pesalah kecil, mencuri setin milo, pakaian, susu anak dan barangan sekolah anak di pasaraya dihukum dan dipenjarakan. Di saat pesalah-pesalah rasuah ikan bilis yang menerima imbuhan ratusan ringgit  digantung tugas, dibicara dan dihukum oleh mahkamah, pelaku-pelaku rasuah mega berbilion ringgit duit rakyat ini masih terus bebas tanpa dibawa pun ke muka pengadilan," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat bangkit untuk membuat perubahan besar dalam pilihan raya akan datang dengan menumbangkan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat.

"Hanya dengan perubahan itulah maka reformasi menyeluruh sistem perundangan dan kehakiman negara dapat dipulihkan sebaiknya dan keadilan dapat ditegakkan," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: