Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Amanah Kelantan menyelar tuduhan bahawa parti itu akan
bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional (BN) bagi menumbangkan kerajaan
PAS di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamad, tuduhan
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mencermikan bahawa
pemimpin berkenaan 'pening' dalam mentafsir situasi sebenar politik di
negeri berkenaan.
"Bagi saya cakap-cakap Mohd Amar itu macam sudah pening dalam politik
di mana cakap tanpa asas. Politik satu persepsi dan apa-apa tanggapan
yang kita buat mesti ada asas.
"Jadi bila Mohamad Amar sebut Amanah dilihat bekerjasama dengan Umno
untuk menjatuhkan PAS, apa asas kepada tuduhan beliau. Kita sendiri
melihat PAS dengan jelas banyak sudut bekerjasama dengan Umno," katanya
kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Mohd Amar bahawa
Amanah mungkin akan menjalinkan hubungan dengan Umno bagi menumbangkan
kerajaan PAS, sebagaimana yang berlaku pada tahun 1978.
Dakwaan Mohd Amar itu dibuat berasaskan peristiwa di mana Umno
bekerjasama dengan parti serpihan PAS, Parti Barisan Jemaah Islamiah
SeMalaysia (BERJASA) pada PRU 1978 untuk tumbangkan kerajaan PAS di
Kelantan.
Tambah Che Ibrahim, adalah mustahil akan wujud kerjasama sedemikian
memandangkan Amanah ujarnya begitu bersungguh-sungguh mahu menumbangkan
kerajaan BN dengan menyertai Pakatan Harapan (PH).
"PAS sudah 'maru' (pening politik). Dia (Datuk Mohd Amar) tidak tahu
apa-apa pun. Dia bercakap tidak tahu apa. Di saat kita Pakatan Harapan
begitu bersungguh-sungguh menentang Barisan Nasional (BN).
"Dalam masa yang sama PAS dilihat acap kali bersama dengan Umno dalam
RUU355, dalam isu Rohingya dan di Parlimen PAS berkali-kali berkecuali
dalam setiap isu yang dibawa oleh Umno tiba-tiba kita parti pembangkang
yang dituduh bersama Umno-BN," katanya lagi.
PAS kini sedang dalam proses untuk memperkasakan Mahkamah Syariah
dengan mencadangkan pindaan terhadap Rang Undang-undang 355 (RUU355)
yang dibawa oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sekiranya diluluskan di Parlimen, kerajaan Umno-BN akan mengambil alih
pembentangan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 daripada Hadi.
"Ceramah dan program PAS akhir-akhir ini dilihat tidak lagi menentang
Umno termasuklah secara rasmi di Dewan Rakyat seumpamanya. PAS tidak
lagi begitu bersikap keras dengan Umno.
"Tiba-tiba kita yang sering bersikap keras dengan Umno pula dituduh
untuk bersama dengan Umno. Jadi bagi saya itu satu bacaan politik yang
tidak ada asasnya," ulas Che Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan