GEORGETOWN: Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Md
Salleh Ahmad, mengesahkan berlaku campur tangan dalam proses pemfatwaan
di negeri itu sehingga menyebabkan ada fatwa tidak dapat disembahkan
kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga kini.
Md Salleh Ahmad berkata, beliau kecewa terhadap Exco Hal Ehwal Agama,
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Malik
Abdul Kassim, yang jelas menggunakan kedudukannya untuk campur tangan
dalam proses pemfatwaan.
Merujuk isu penggunaan kalimah Allah di Pulau Pinang pada 2010, beliau
berkata, terdapat arahan daripada Malik supaya Jawatankuasa Fatwa Pulau
Pinang membincangkan semula keputusan pemfatwaan supaya selari dengan
pendirian kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan fatwa kalimah
Allah.
"Bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pada ketika
itu tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang sudah digazetkan,
dikekalkan sebagai fatwa.
"Selain itu, terdapat beberapa fatwa yang ditangguhkan oleh Malik untuk
dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan perkara ini pernah dibincangkan
di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.
"Saya kesal dengan tindakan ini, seolah-olah kuasa beliau di dalam hal
pemfatwaan lebih besar daripada kami," katanya dalam kenyataan, di sini,
hari ini.
Untuk rekod, pendirian Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang adalah selari
dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, yang menetapkan penggunaan
kalimah Allah adalah hanya tertakluk kepada umat Islam.
Ia tertakluk mengikut Seksyen 48(3) dan Seksyen 48(4) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, yang diwartakan pada April
2010.
Mengulas lanjut, Md Salleh berkata, beliau berharap campur tangan
politik ini dapat dihentikan dan semua fatwa perlu terus dipersembahkan
kepada Yang di-Pertuan Agong, tanpa melalui mesyuarat EXCO negeri.
"Saya berharap kenyataan ini dapat menjelaskan perkara yang sebenar berkaitan isu yang timbul.
"Saya juga mengharapkan agar masyarakat Islam sama-sama bangkit
mempertahankan institusi fatwa daripada sebarang campur tangan dan
tekanan politik mana-mana pihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan