TANJONG KARANG: Jawatan Datuk Seri Jamal Mohd Yunos sebagai Ketua Umno
Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kawasan itu
kekal selagi ia belum diputuskan Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata,
jawatan Jamal itu adalah dipilih oleh perwakilan maka segala keputusan
perlu dibawa kepada MT.
Katanya, mengikut amalan BN, hanya individu yang didakwa di mahkamah
sahaja akan digantung tetapi dalam isu Jamal, beliau hanya ditahan
reman. "Beliau (Jamal) baru disiasat sahaja.
Setakat ini tiada pendakwaan terhadap beliau.
"Selagi tiada keputusan daripada pihak MT, jawatan yang disandang Jamal
masih kekal," katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan
Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama
Menengah (SAM) Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Noh berkata, secara peribadi beliau menghormati keputusan Jamal itu
yang sanggup melepaskan jawatan dilantik demi menegakkan kebenaran.
Katanya, Jamal juga bertegas keputusan meletakkan jawatan itu kerana
tidak mahu nama Umno tercemar. "Saya lihat beliau berjiwa besar.
Tegakkan kebenaran dan keadilan, sanggup letak jawatan yang dilantik.
"Surat peletakan jawatan Jamal itu akan diserahkan kepada MT dalam masa terdekat," katanya.
Kelmarin, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia,
menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Noh selepas tidak mahu
nama Umno tercemar berikutan ditahan reman bagi membantu siasatan
berhubung serbuan terhadap beberapa pusat judi yang dilakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan