KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Presiden
PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain membayar ganti
rugi berjumlah RM70,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(Felda) dan anak syarikatnya berhubung penerbitan artikel berunsur
fitnah pada 2010.
Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin membuat keputusan itu dalam
kamarnya ketika taksiran ganti rugi dengan dihadiri peguam Nor Emelia
Mohd Iszeham mewakili plaintif manakala peguam Francis Pereira mewakili
Dr Wan Azizah, Senator Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel tersebut
Rusnizam Mahat selaku defendan.
Pada 17 Okt 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Felda dan anak
syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd selaku plaintif
terhadap ketiga-tiga defendan berhubung penerbitan dua artikel fitnah
dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan'.
Nor Emelia ketika ditemui pemberita berkata mahkamah memerintahkan
kesemua defendan membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 sebagai ganti
rugi am, teruk dan teladan.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan membayar faedah 8 peratus
dari tarikh penghakiman pada 17 Okt 2014 hingga penyelesaikan kes itu
hari ini.
Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya memfailkan saman RM200
juta terhadap ketiga-tiga defendan atas dakwaan menyiarkan dua artikel
yang memfitnah Felda dalam Suara Keadilan.
Felda mendakwa artikel itu, masing-masing disiarkan pada 22 dan 29 Jun
2010 bertajuk 'Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk
'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga
Individu' menjejaskan imej mereka.
Pada 30 Sept 2014, bekas editor 'Suara Keadilan', Dzulkarnain Taib,
yang merupakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan
anak syarikatnya berhubung penerbitan dua artikel itu.
Beliau menyatakan bahawa artikel itu adalah palsu dan diterbitkan oleh
'Suara Keadilan' dengan tujuan untuk memperkecilkan pihak plaintif dan
menjejaskan reputasi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan