Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS boleh dianggap sebagai ‘spoiler’ atau pengacau pada
Pilihan Raya Umum (PRU) nanti dan bakal menghampakan harapan rakyat
untuk melihat perubahan dalam kerajaan.
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, keputusan PAS
untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR juga tidak memberi manfaat
kepada sesiapa, bahkan hanya menguntungkan kerajaan Umno-Barisan
Nasional.
“Saya percaya apa yang dibuat oleh PAS adalah untuk menjadi spoiler
pilihan raya ini, gagasan rakyat untuk melihat perubahan, berilah sekali
rakyat peluang untuk membentuk sebuah kerajaan baru akan digugat oleh
peranan PAS sebagai spoiler.
“Jadi tiada siapa yang untung, yang untung ialah BN apabila PAS terus
dengan dasar tiga penjuru ini tapi kita tidak ada pilihan kalau mereka
ingin teruskan juga, tak kanlah kita nak berundur semata dengan ugutan
PAS sahaja,” ujarnya kepada Antarapos.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan
keyakinan PAS menghadapi PRU14 dan tidak gentar mengharungi persaingan
pelbagai penjuru ketika ucapan penggulungan di Muktamar ke-63 PAS di
Kota Sarang Semut, Kedah semalam.
PAS juga dilihat semakin yakin bergerak sendiri dan sudah menyatakan hasrat bertanding 80 buah kerusi parlimen pada PRU nanti.
Di samping itu, Mohd Anuar berkata, Amanah bersedia bertanding walaupun
menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional
(BN) pada PRU akan datang.
Katanya, Amanah akan menerima segala pilihan dibuat oleh rakyat pada
PRU nanti dan tidak akan berundur daripada mana-mana kerusi dipertanding
oleh PAS.
“Terpulang kepada rakyat untuk memilih, kami yakin kalau ditakdirkan
tiga penjuru sekalipun kita tidak akan berundur, kita akan terus
mengemukakan gagasan kita dan kita mengharap rakyat dapat menerimanya,
jadi kita akan hadapi apa-apa risiko yang ada.
“Terpaksa terima kekalahan itu dan begitu juga bukan Amanah sahaja, PAS
juga perlu menerima hakikat mereka akan kalah, mungkin mereka juga akan
kalah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan