HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Jun 2017

10 Jenis Produk Dihasilkan oleh Tahanan Penjara

MALAYSIAN ACCESS

Cover image via Says
Satu inisiatif kini sedang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia dalam melengkapkan kemahiran vokasional kepada banduan-banduan atau tahanan penjara.

Mungkin tidak ramai yang tahu, tetapi banduan-banduan ini diberi bimbingan dan latihan yang betul di bawah seksyen vokasional dan perindustrian supaya mereka berpeluang untuk memulakan sesuatu yang baik apabila mereka meninggalkan pusat pemulihan nanti.

Mereka diajar untuk menghasilkan pelbagai jenis produk yang tidak hanya digunakan tetapi juga dipasarkan di luar penjara, untuk dijual kepada orang ramai.

Hasil jualan dilaporkan mencecah sebanyak RM34 juta setahun dan apa yang lebih menarik lagi penghuni penjara juga mendapat bahagian masing-masing daripada hasil jualan ini yang diberikan oleh Jabatan Penjara.

Ini dia sebahagian produk yang dihasilkan tahanan penjara di seluruh Malaysia:

 

1. Makanan sejuk beku

 

makanan sejuk

Produk makanan adalah salah satu sektor yang paling menguntungkan di Jabatan Penjara. Pada tahun 2015, jumlah jualan produk makanan, termasuk makanan beku, dicatatkan pada RM26.6 juta.

Antara produk makanan beku yang paling popular termasuk karipap, donat, murtabak ayam, dan cucur badak.

Barang-barang ini mudah didapati di supermarket Mydin terpilih.

2. Sos pencicah

 

cili sos

Sos pencicah, adalah produk paling popular dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ia menjadi salah satu produk terlaris dari penjara ini sejak tujuh hingga lapan tahun lalu.

Jualan sos cili sangat menggalakkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Sehinggakan pada tahun 2013 sahaja, pihak penjara telah memperoleh keuntungan sebanyak RM50,000.

3. Kuih raya

 

kuih raya

Sejak beberapa tahun lepas, penghuni-penghuni penjara Malaysia telah menghasilkan kuih-kuih yang lazat untuk musim perayaan Hari Raya. Tidak kurang beza juga untuk tahun ini, mereka menghasilkan lebih daripada 15 jenis kuih raya tempatan dan menjualnya kepada orang ramai pada harga yang berpatutan antara RM18 dan RM22 sebalang.

Tahun lepas, Penjara Pokok Sena dan Alor Setar masing-masing berjaya memperoleh RM250,000 dan RM150,000 melalui penjualan kuih raya. Sasaran baru telah ditetapkan untuk memperoleh RM500,000 tahun ini hasil gabungan keuntungan kedua-dua penjara itu.

4. Produk tenun

 

tenun

Bengkel tenunan dijalankan untuk melatih banduan kaedah tenunan tradisional dari proses mewarnakan benang sehingga menenun.

Tahun lepas, Puteri Mahkota Denmark, Mary Elizabeth Donaldson, dilaporkan membeli 250 Tenun Pahang Diraja (sejenis kain tenunan sutera) yang dihasilkan oleh tahanan di Penjara Penor dan Bentong.

Kedua-dua penjara itu berjaya merekodkan hasil jualan lebih daripada RM400,000 pada tahun lepas melalui jualan produk Tenun Pahang Diraja sahaja.

5. Songket

 

songket

Penjara-penjara di Malaysia sangat dikenali sebagai pusat seni kain dan pusat pembuatan produk tenunan.

Walaubagaimanapun, songket sering menerima permintaan yang tinggi bahkan disukai oleh Kerabat Diraja di negara ini.

Penjara Marang di Terengganu telah diiktiraf kerana menghasilkan antara songket terbaik dan berkualiti tinggi di negara ini.

6. Set BBQ

 

set bbq
Salah satu produk menarik yang dihasilkan penghuni penjara adalah barbeku set.

Orang ramai juga menunjukkan sokongan mereka terhadap produk penghuni penjara ini dengan cara membeli set ini untuk rumah mereka sendiri.

7. Perabot

 

perabot

Penghuni di beberapa penjara di Malaysia menjalani latihan untuk melakukan kerja tangan, membuat pelbagai jenis perabot seperti meja kopi, almari pakaian dan juga bedframe.

Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang pelbagai untuk membuat perabot, terutamanya daripada bahan kayu dan rotan.

8. Ukiran kayu

 

ukiran kayu

Sesetengah banduan di penjara Malaysia juga dilatih untuk mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam ukiran kayu. Ini membolehkan mereka mengekspresikan kreativiti mereka sendiri dalam menghasilkan produk yang terdiri daripada barangan hiasan seperti pemegang kunci dan cermin.

Dikatakan bahawa beberapa karya ukiran kayu terlaris adalah rehal yang mempunyai butiran dan reka bentuk rumit yang sangat eksklusif dan sempurna untuk diberikan sebagai hadiah perkahwinan.

9. Pakaian

 

pakaian

Penghuni penjara termasuk lelaki dan perempuan juga diajar menjahit dan bagaimana untuk menggunakan mesin jahit. Sekurang-kurangnya mereka dapat menceburkan diri dalam industri jahitan apabila mereka keluar daripada penjara nanti.

Sesetengah daripada mereka diajar menghasilkan produk batik.

Empat pusat utama yang menghasilkan batik di negara ini ialah Penjara Wanita Kajang di Selangor, Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan, Penjara Marang di Terengganu, dan Penjara Pokok Sena di Kedah.

10. Kraftangan

 

kraftangan

Jabatan Penjara juga menjual pelbagai jenis kraftangan yang dihasilkan oleh penghuni penjara menggunakan rotan dan buluh.

Pelbagai barangan unik dan cantik dihasilkan seperti topi, tikar, kotak pensil dan banyak lagi.



EHHH....SIAPA YANG PANIK?

shahbudindotcom


Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa berkata, tindakan pembangkang cuba memanipulasi laporan DOJ adalah bertujuan mengalih tumpuan daripada isu penubuhan Suruhanjaya Diraja berkaitan urusniaga mata wang asing atau forex yang ditubuhkan kerajaan.

Kata beliau, keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu telah mewujudkan keadaan panik di kalangan pembangkang.

Benarkah pembangkang sedang panik?

Sebelum panik, mari kita fahami dahulu beza antara DOJ dengan forex.

Isu DOJ ialah berkaitan 1MDB yang daripada syarikat pelaburan kerajaan tersebut dipercayai hampir RM20,000 juta telah diselewengkan dan dalam masa yang sama, hutangnya pula mencecah RM55,000 juta.

1MDB ditubuhkan oleh Najib, Pengerusi Lembaga Penasihatnya Najib, Perdana Menteri Najib, Pengerusi Mesyuarat Kabinet Najib, Menteri Kewangan Najib dan orang yang terikat secara langsung dengan Artikel 117 M & A syarikat iaitu berkuasa meluluskan sebarang urusan berkaitan kewangan dan pelaburan 1MDB juga adalah Najib.

Berdasarkan laporan DOJ, turut didedahkan bahawa "Malaysian Official 1" telah mendapat sejumlah RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya, manakala "isteri Malaysian Official 1" menerima hadiah barang kemas serta perhiasan mewah daripada Jho Low bernilai kira-kira RM128 juta.

Meskipun sehingga ini tiada sesiapa mahu mengaku sebagai "Malaysian Official 1", tetapi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan dengan bangga mengesahkan ia adalah Najib.

Urusniaga matawang asing yang menyebabkan negara kerugian sehingga AS10 bilion kira-kira 25 tahun lalu adalah diuruskan oleh Bank Negara dengan pegawai yang dikatakan bertanggungjawab mengenainya ketika itu ialah Nor Mohamed Yakcop.

Ketika itu, Tun Mahathir Mohamad hanyalah Perdana Menteri dan Pengerusi Mesyuarat Kabinet, manakala Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim.

Memang berlaku kerugian dalam urusniaga forex, tetapi ia adalah berkaitan perniagaan yang tertakluk kepada ada masa untung, ada masa rugi. 

Namun, tindakan pencegahan telah diambil untuk mengelakkan kerugian lebih menimbun, bahkan Nor Mohamed Yakcop juga telah diarah meletakkan jawatan dan dilarang terlibat dalam urusan kewangan negara sebagaimana yang disahkan oleh Anwar ketika mengadap Pasukan Petugas Khas sebelum ini.

Meskipun berlaku kerugian, nilai ringgit ketika itu tidak begitu terancam atau jadi lemah dengan mendadak. Segala-galanya dalam keadaan terkawal, malah sehingga Tun Mahathir berundur pada 2003 dan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dan meletakkan jawatan pada 2009, nilai ringgit tidaklah terlalu buruk berbanding ketika era Najib yang diselubungi gerhana 1MDB.

Di sebalik kerugian forex juga, tiada sesiapa termasuk Tun Mahathir dan Anwar yang diketahui ada kemasukan beribu-ribu juta wang ke dalam akaun bank peribadi mereka.

Tetapi, di sebalik 1MDB, begitu ramai yang mendapag manfaat dan untungnya, termasuk tiba-tiba mampu menghasilkan filem di Hollywood dan memberi apartment mewah di New York dan London.

Selain itu, berbeza dengan forex di mana beberapa tindakan telah pun diambil, apa tindakan  kerajaan terhadap petualang-petualang 1MDB?

Maka, antara DOJ yang bertindak berkaitan 1MDB dan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kabinet untuk menyiasat forex, siapa yang sepatutnya lebih panik? 

BN dan Najib atau pembangkang serta Tun Mahathir?

Adakah Annuar Musa turut sama panik bersama mereka yang sedang panik?
 
 

Adun terima semula elaun dibekukan




Datuk Farizan
Datuk Farizan
 
GEORGETOWN - Beberapa Adun yang sebelum ini dibekukan elaun bulanan kerana gagal menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan semula Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April lalu telah menghantar surat permohonan maaf kepada kerajaan negeri dan Yang Di-Pertua Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kesemua elaun mereka disambung semula selepas permohonan maaf mereka diterima oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pagi tadi.

Menurutnya, kesemua mereka telah memberi penjelasan mengenai ketidak hadiran mereka termasuk Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin yang mendakwa tidak menerima surat jemputan yang telah dihantarkan kepadanya.

"Sebelum ini kerajaan negeri telah putuskan elaun mereka dibekukan sehingga mereka memohon maaf dan mengemukakan alasan mengapa mereka tidak hadir ke majlis berkenaan.

"Adun Penanti juga sebelum ini disyaratkan untuk memohon maaf kepada saya atas dakwaan tidak menerima surat jemputan dan atas semangat Aidilfitri saya dengan sukacitanya memaklumkan permohonan maaf mereka diterima dengan tulus ikhlas," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Guan Eng berkata, bukan hanya Adun PKR sahaja yang dikenakan tindakan pembekuan elaun malah ada beberapa Adun DAP yang turut dikenakan tindakan sama kerana tidak hadir ke majlis angkat sumpah berkenaan.

Bagaimanapun, Guan Eng ketika ditanya siapakah Adun DAP yang dikenakan tindakan terbabit enggan mendedahkan nama mereka.

"Kita rasa ini satu perkara serius yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, oleh itu kita telah buat keputusan untuk membekukan elaun mereka.

"Kesemua Adun kerajaan perlu diingatkan bahawa tanggungjawab mereka adalah menyokong dan menyertai semua program rasmi kerajaan negeri khususnya majlis angkat sumpah Yang Di-Pertua Negeri," katanya.

Guan Eng ketika mengulas mengenai Adun Penanti berkata, dakwaan Dr Norlela yang mengatakan tidak menerima jemputan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri telah menjejaskan imej Datuk Seri Farizan.

Katanya, bukan hanya jemputan rasmi telah dihantar kepadanya malah panggilan telefon juga telah dibuat kepada Dr Norlela bagi memaklumkan mengenai majlis angkat sumpah berkenaan.

"Kita anggap perkara ini telah selesai dan Dr Norlela juga telah mengakui kekhilafannya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keluhan Dr Norlela yang kecewa apabila peruntukannya dibekukan hanya kerana tidak dapat menghadirkan diri pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Di-Pertua Negeri.

Dr Norlela dalam laman sosial Facebooknya melahirkan rasa bimbang apabila peruntukan untuk kawasannya ditahan atau ditarik balik sehingga September 2017, tarikh yang dijangka berlaku PRU14.

Difahamkan, beliau hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan dalam mesyuarat pimpinan Keadilan Pulau Pinang pada 12 Mei lalu.

Dalam tulisan di laman Facebooknya Dr Norlela berkata, beliau hanya menuruti arahan pimpinan parti supaya terus berada pada Konvensyen PKR yang diadakan pada 29 April di Seberang Jaya.

"Saya ikut arahan pimpinan untuk kekal di Konvensyen PKR Pulau Pinang dan hanya Exco,Timbalan Ketua Menteri 1 dan Presiden PKR yang pergi ke majlis rasmi berkenaan.

"Sebab pimpinan-pimpinan PKR seperti Naib Presiden, Nurul Izzah, Rafizi dan naib-naib presiden akan berucap selepas perasmian dan kami wakil rakyat biasa yang tak ada jawatan diminta kekal sebagai hos supaya masih ada Adun PKR Pulau Pinang yang berada di konvesyen berkenaan," tulisnya pada laman Facebooknya sebelum ini.

‘Lalat banyak, kami dah tak tahan’





‘Lalat banyak, kami dah tak tahan’
Baharin menunjukkan lalat di kediaman penduduk di Kampung Kota Pulau.


REMBAU – Keceriaan sambutan Aidilfitri buat penduduk di Kampung Kota Pulau di sini hilang, lantaran berhadapan dengan masalah ribuan lalat yang membelenggu mereka selama ini.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati penduduk terpaksa menggunakan pelbagai kaedah bagi mengurangkan kehadiran lalat dan mengeluarkan belanja lebih untuk keselesaan mereka.

Seorang penduduk, Baharin Shabudin, 67, berkata, dia menetap di kampung berkenaan sejak 2005 lagi dan sudah pun menghadapi masalah itu sejak lebih 10 tahun lalu.

“Mungkin sebab ada kebun sayur yang diusahakan berdekatan kampung ini. Jadi lalat terlalu banyak lebih-lebih lagi waktu baja ditabur.
“Kalau masalah bau saja, kami 10 keluarga yang menetap di sini mungkin boleh bertolak-ansur. Tapi bila dah terlalu banyak sangat lalat itu yang kami tak tahan,” luahnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kota Pulau, baru-baru ini.
Bagi Nor Aisyah Abdul Khadir, 30, dia amat berharap agar agensi berkaitan seperti jabatan pertanian dan juga jabatan kesihatan dapat memantau masalah lalat di kawasan berkenaan.
Aisyah menunjukkan sebahagian lalat yang melekat pada perangkap lalat yang dipasang di rumahnya.
Menurutnya, dia sendiri terpaksa mengeluarkan belanja lebih bagi membeli pelekat lalat, racun serangga dan juga sabun pembasmi kuman.

“Bayangkan sehari saja pakai 10 pelekat lalat. Belum lagi berbotol-botol racun serangga tapi lalat masih juga banyak.

“Kalau musim perayaan atau kenduri-kendara lagilah teruk masalah lalat ni. Berebut pula lalat ni memenuhi semua bekas-bekas makanan walaupun ditutup rapi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kota Pekan, Jahaya Awang berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai masalah berkenaan.

"Kita juga berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil serius masalah ini dan berusaha mengatasinya," katanya.

Miros, JKR buat kajian kemalangan jalan raya




Miros, JKR buat kajian kemalangan jalan raya
Tiong Lai memberikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Jamuan Hari Raya di Rancangan Tanah Persekutuan (RTP) Lebu di sini, hari ini
 
BENTONG - Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk melakukan kajian dan ketelitian tentang kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penelitian yang dilakukan bukan sahaja dari segi kecuaian manusia malah faktor keadaan jalan juga turut diambil kira.

Menurutnya, kajian ini harus dilakukan kerana masih terdapat banyak kemalangan yang berlaku walaupun banyak kempen keselamatan telah dihebahkan

"Saya merasa amat sedih kerana kemalangan masih meningkat dan berlaku walaupun kempen keselamatan jalan raya telah dibuat sebelum hari raya dan dihebahkan di media bertalu talu dan kita telah org ramai pandu cermat jiea selamat

"Namun saya lihat masih lagi banyak kemalangan maut yang serius di mana kelajuan itu membunuh. Saya dah arahkan pihak Miros dan JKJR untuk kita buat lebih banyak penelitian selain darinya berpunca dari manusia

"Sukar untuk kita elakkan dan kita hanya boleh meningkatkan kesedaran namun kita juga perlu meneliti keadaan jalan raya seperti kawasan yang sering berlaku kemalangan itu boleh kita perbaiki kualiti jalan ataupun struktur jalanraya seperti selekoh," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya di Rancangan Tanah Persekutuan (RTP) Lebu di sini, hari ini

Tiong Lai berkata kerajaan dari semasa ke semasa akan menaikan taraf jalan raya yang telah dikenal pasti merupakan kawasan yang berbahaya supaya kemalangan dapat dikurangkan di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih daripada 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian manusia yang tidak mematuhi undang-undang.

"Oleh itu kita telah laksanakan Awas dan Kejara yg diharap dapat mengurangkan kemalangan jalan raya dan dapat mengubah sikap pemandu.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memandu di jalan raya. Saya berasa sedih kerana sepatutnya hari raya adalah hari gembira tetapi kemalangan masih lagi berlaku," katanya.

Seorang maut, 2 parah kemalangan 4 kenderaan



Seorang maut, 2 parah kemalangan 4 kenderaan
Kejadian berlaku di Kampung Padang Kala di sini pagi tadi.
 
 
KOTA BHARU - Seorang maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan empat kenderaan di Kampung Padang Kala di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa, Mohamad Shahrul Nizam Ahmad, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah Kota Bharu menghala ke Melor.

Mangsa yang menunggang motosikal turut diekori dua rakannya dengan motosikal berasingan.

Mangsa dan dua rakannya dipercayai gagal mengelak kereta Proton Persona yang membuat pusingan U di persimpangan jalan ke Aril dan menyebabkan mereka melanggar bahagian sisi depan kiri, pintu sebelah kiri dan belakang sisi kereta terbabit.

Akibat kemalangan itu, Mohamad Shahrul tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya   mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya mayat mangsa dibawa ke unit forensik HUSM untuk bedah siasat.
“Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk sisatan lanjut,”katanya.

Penubuhan RCI Forex tiada niat jahat - Salleh

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya mempolitikkan keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar di sebalik kerugian urus niaga matawang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1980-an dan 1990-an.
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata keputusan Kabinet itu dibuat tanpa sebarang niat jahat atau bermotifkan politik, sebaliknya ia adalah syor yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan.
 
"Kabinet membuat keputusan tepat untuk menubuhkan RCI oleh kerana negara dan rakyat inginkan kebenaran.
 
"Keputusan itu dibuat disebabkan kerugian urus niaga matawang asing ini adalah terlalu besar yang mengakibatkan BNM secara teknikalnya menjadi bankrap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Salleh berkata rancangan PH untuk mengadakan jerayawara berkaitan perkara itu adalah untuk mengelirukan rakyat dan menjejaskan RCI.
 
"Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Pakatan Harapan merupakan pembangkang yang gagal disebabkan mereka mengamalkan pilih kasih.
 
"Semasa Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) berada di dalam Umno, mereka mendesak supaya ditubuhkan RCI. Sekarang Mahathir bersama mereka, (tetapi) mereka menolak RCI," katanya.
 
Pada 21 Jun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Kabinet bersetuju sebulat suara dengan syor STF bahawa terdapat keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian dalam urus niaga matawang asing oleh BNM.
 
Menurutnya, pasukan petugas itu turut mendapati ada percubaan untuk menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kerugian itu, dengan maklumat mengelirukan dikemukakan kepada Kabinet dan parlimen.
 
PMO berkata pasukan petugas itu turut mendapati wujud kes prima facie yang perlu dijawab oleh BNM berhubung kerugian urus niaga matawang asing itu, dan oleh itu, mengesyorkan penubuhan RCI.
 
Sehubungan itu, katanya, penubuhan RCI dijangka merungkai isu yang membelenggu negara sejak 23 tahun lepas.
 
 

Pendedahan Rafizi hanya memakan diri sendiri - MT Umno

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Tabiat' Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang gemar membuat pendedahan demi pendedahan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebenarnya hanya memakan dirinya sendiri.
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar berkata, pendedahan Rafizi konon kelihatan seolah-olah sahih, namun akhirnya hanya menjerat dirinya sendiri apabila 'bukti' dakwaannya itu tidak kukuh dan diperoleh secara 'serkap jarang'. 
 
"Dia (Rafizi) menganggap dirinya sebagai 'whistle-blower' tetapi kita di dewan rakyat menganggap dia sebagai 'trumpet-blower', bukan sebagai pemberi maklumat untuk mendedahkan sesuatu.
 
"Apa yang dia hujah itu, apa yang dia tuduh itu akhirnya seolah-olah dia melepaskan batuk di tangga, tidak ada tanggungjawab secara langsung sampai penghujungnya.
 
"Tetapi akhirnya samada dia didakwa di mahkamah atau dia memohon maaf, ataupun apa yang diperkatakannya itu berhenti di situ sahaja," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Malah kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga, tabiat Rafizi itu sebenarnya telah banyak menjejaskan nama baik negara apabila pendedahan tersebut hanya 'tergantung' lantaran ia hanya berdasarkan dakwaan semata-mata.
 
Menurutnya, disebabkan itu, rakyat kini sudah mula menyedari bahawa 'pendedahan' Rafizi itu tidak berasaskan bukti yang kukuh.  
 
"Sebetulnya memang politik sebegini tidak boleh diamalkan sebab kalau dia membuat tuduhan kepada kerajaan dari segi menurunkan ekonomi negara ataupun menakutkan pelabur-pelabur dan negara kita, menakutkan pelancong datang, ini sudah tentu akan merugikan ekonomi negara dan sudah tentu impaknya juga bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi kepada rakyat biasa.
 
"Mula-mula memang orang percaya, tetapi akhirnya dia terperangkap dengan permainan dia sendiri dan orang lihat dia sudah tidak ada kredibiliti.
 
"Bukan sahaja orang yang berpendidikan, tetapi orang di kampung juga telah merasa tertipu oleh banyak wakil rakyat termasuk Rafizi dengan pendedahan demi pendedahan kononnya ada yang mahu didedahkan, ada penyelewengan, ada pembohongan, penipuan dan sebagainya tetapi tidak ada satu pun yang berjaya diselesaikan, ataupun misi yang dibawanya itu ada penghujungnya iaitu ada pendakwaan, penyiasatan dan sebagainya," katanya. 
 
Rafizi merupakan individu yang ligat membuat pendedahan membabitkan kerajaan, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Beberapa bulan lalu, beliau menuduh pula bekas rakan tahaluf partinya, PAS menerima dana jutaan ringgit daripada syarikat 1MDB melalui bekas Timbalan Presidennya, Datuk Nasharuddin Mat Isa. Bagaimanapun Nasharuddin menafikan tuduhan itu dan mengatakan ia adalah fitnah Rafizi.
 
Terbaru, pemimpin PKR itu memohon maaf ekoran tersilap mengenal pasti seorang wanita, FLorence Goh yang didakwanya terlibat dalam pelantikan firma pelobi untuk kerajaan Malaysia. 


Mufti WP cadang semua penerbangan dimulakan dengan doa

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kesemua syarikat penerbangan tempatan disarankan memulakan penerbangan mereka dengan doa, demikian menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
 
Ujarnya berdoa merupakan satu amalan yang baik, sebagaimana yang dituntut kepada umat Islam supaya berdoa sebelum memulakan sebarang perjalanan supaya sentiasa dalam keadaan yang selamat dan lancar.
 
"Justeru, kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), AirAsia, Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan.
 
"Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan) yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana," katanya dalam kenyataan.
 
Penerbangan awal pagi dari Perth ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu terpaksa berpatah balik selepas pesawat Airbus A330 membawa 359 penumpang itu mengalami masalah teknikal pada satu daripada dua enjinnya sejurus setelah berlepas. 
 
Penumpang menceritakan pengalaman mereka yang merasai gegaran kuat di dalam kabin pesawat itu. Kru penerbangan dipuji kerana berjaya menangani situasi itu dengan baik.
 
Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 10 pagi dan semua penumpang dipindahkan ke penerbangan berikutnya pada 11:40 malam hari yang sama.
 
Bagaimanapun ia mencetuskan kontroversi apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan tindakan juruterbang AirAsia itu yang meminta penumpang supaya berdoa ketika pesawat itu berpatah balik ke Perth.
 
 

Jabatan Imigresen gempur PATI mulai tengah malam ini

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi gempur besar-besaran di seluruh negara bermula tengah malam ini bagi mengesan pendatang tanpa asing (PATI) selaras dengan tamatnya tempoh permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad), hari ini.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata selepas tempoh tersebut selain tangkapan ke atas PATI, majikan juga akan dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan melindungi serta menggaji PATI mengikut Seksyen 56(1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963 termasuk menggaji warga asing yang menyalahgunakan pas pelajar mereka.
 
"Saya sudah tegaskan banyak kali bahawa tarikh akhir pendaftaran adalah pada 12 tengah malam ini, dan ia tidak akan di sambung," katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.
 
Menurut Mustafar, pihaknya ternyata kecewa dengan sikap berlengah para majikan yang tidak membuat pendaftaran dengan lebih awal walaupun program tersebut telah dilancarkan sejak 15 Februari lalu.
 
Beliau berkata setakat jam 8 pagi tadi, hanya 23 peratus iaitu 155,680 PATI melibatkan 26,957 majlikan telah membuat permohonan dan sebanyak 140,746 E-Kad telah dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.
 
Menurutnya, warga Bangladesh adalah warganegara PATI yang tertinggi mendaftar E-Kad diikuti Indonesia, Myanmar dan Nepal.
 
Katanya, walaupun permohonan ditutup pada jam 12 tengah malam ini, tetapi para pegawai terpaksa bekerja sehingga 7 pagi esok bagi memproses kesemua dokumen yang sedia ada.
 
Malah, katanya, atas kapasiti yang terbatas, permohonan majikan yang datang ke pejabat Imigresen selepas 11.30 pagi tadi terpaksa diketepikan terlebih dahulu bagi pihaknya memproses kesemua permohonan yang sedia ada.
 
Mustafar turut memaklumkan pihaknya menahan beberapa orang, yang didakwa sebagai ejen, yang mengambil kesempatan dengan mengeluarkan E-Kad palsu.
 
Katanya, permohonan E-Kad perlu diuruskan sendiri oleh majikan tanpa melibatkan orang tengah.
 
 

Menjemput laknat Tuhan, kelahiran semula Sodom dan Gomora versi Melayu

 Majlis Ulama ISMA 
 


Semenjak akhir-akhir ini hangat diperdebatkan di media sosial perihal unsur LGBT yang terdapat dalam filem yang diimport dari barat. Kemudian, timbul pula golongan opportunis yang mengambil peluang mempromosikan jualan nasi lemak mereka dengan mengangkat terma Gay dan Pondan bagi menarik perhatian ramai.

1. LGBT itu sendiri adalah akronim atau satu singkatan yang merujuk kepada Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender ataupun secara mudahnya ialah perbuatan Liwat (Gay) Sihaq (Lesbian) juga disebut sebagai homoseksual. Naluri seks mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula digunapakai di awal tahun 90an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol keragaman dalam seksualiti insan. Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada didiskriminasi dengan beranggapan ia merupakan hak asasi manusia (HAM). Setakat ini terdapat 22 buah negara yang mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan mengiktiraf perkahwinan sejenis.

2. Perbuatan Homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth, iaitu kaum Sodom yang dilaknat Tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum Sodom dan penghuninya. Oleh kerana seringkali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang ditimpakan kepada kaum tersebut. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam Al-Quran.

3. Masihkah kita ingat, 6 tahun yang lalu negara kita digemparkan dengan kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli namun gagal. Pelajar tajaan Petronas ini gagal dihubungi malah langsung tidak berhubung dengan keluarganya. Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak selama 8 tahun tetapi digemparkan dengan berita yang menghayat hati ini.

4. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT? Ada yang memberikan alasan, ia adalah satu bentuk penyakit ‘mental disorder‘. Tetapi ianya disangkal oleh seorang Ahli Neurologi, Dr Ryu Hasan mengatakan tidak ada istilah sembuh bagi orang yang memiliki orientasi seksual lesbian, gay dan biseksual. Menurutnya lagi, LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan jadi tidak perlu disembuhkan. Menurut ahli psikologi LGBT ini terbentuk kerana persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri mereka yang sebenar.

5. Sudah jelas Islam melarang perbuatan ini. Tapi, bagaimana dengan agama lain ? Di dalam agama Kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu dikira berdosa menurut Bible. Perbuatan homoseksual, di dalam Bible dengan tegas melarang manusia untuk melakukan tindakan tersebut kerana merupakan perbuatan yang dilaknat oleh Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22 ; 20:13

6. Proses normalisasi yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari awal, sebelum ianya lebih melarat dan sukar untuk ditangani. Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan sebesar 37% semenjak 2009-2012. Pemerintah harus memainkan peranan bagi menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak dari awal bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut bertanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak di rumah.

Sama-sama kita memelihara negara kita daripada malapetaka ini sebelum datangnya azab Allah seperti Tsunami yang pernah menimpa di Acheh satu ketika dahulu. Ia juga bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut untuk kita menutup pintu-pintu kejahatan sekaligus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.

Saya menutup rencana ini dengan sepotong ayat Al-Quran buat renungan bersama:


وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.” (Al-Anfaal :25)

Ustaz Zabidi Azhar
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)



Jika Anwar Tidak Boleh Jadi PM, Siapa Pun Tidak Boleh – Akar Umbi PKR

Suara Kebenaran




Pembangkang di negara ini tidak akan mampu bersatu padu dan memperoleh kejayaan seperti mana sekarang sekiranya tidak kerana Datuk Sri Anwar Ibrahim kata seorang pemimpin PKR Cabang.

Dari Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan sekarang, semuanya mendapat momentum sokongan rakyat hasil dari perjuangan Anwar setelah dipecat Tun Mahathir pada penghujung 90-an.

Tanpa Anwar, pembangkang di Malaysia hanya kekal sebagai minoriti dalam kerajaan persekutuan dan negeri sahaja, tidak lebih dari itu.  Nak membentuk kerajaan di beberapa negeri macam sekarang?  Mimpilah.

Justeru, amat wajar jasa Anwar ini dibalas dengan beliau sendiri dilantik menjadi Perdana Menteri, bukan orang lain, apatah lagi Tun Mahathir kata pemimpin Cabang yang berkenaan.  Tun Mahathir adalah orang yang menamatkan karier Anwar dipuncak kepimpinan kerajaan sedangkan hanya selangkah sahaja lagi untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Maka itu, apa saja kenyataan dan keputusan pimpinan PKR di atas, selagi tidak menjurus kepada merealisasikan soal pokok menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, maka ianya ditolak oleh ahli PKR di akar umbi

USA Hantar Tentera, Kenyataan CM Lim Lanjutan Dari Kebimbangan Rakyat

Suara Kebenaran



CM Lim tidak pernah menjemput campur tangan asing seperti USA ke dalam negara ini, seperti yang banyak dimainkan di media sosial.  Apa yang beliau kata ialah, United States bukan setakat boleh saman negara ini saja (melalui DoJ) tapi juga boleh menghantar tentera untuk menjatuhkan kerajaan negara ini.

Dengan bagaimana kenyataan seperti itu dikatakan menjemput campur tangan asing?

Memang ada kebenarannya apa yang CM Lim katakan itu, USA sebagai negara kuasa besar dunia, bukan sahaja boleh menyaman negara asing seperti Malaysia tapi juga boleh menawannya dengan menggunakan kekuatan tentera.

Sekalipun mungkin ada kekangan logistik tapi USA diketahui mempunyai banyak pengkalan di merata dunia dengan yang paling dekat di Jepun.  Itu yang mencetus kebimbangan rakyat sehingga mendapat perhatian CM Lim.  Najib mana tahu semua ni kerana beliau jarang dilihat bersama rakyat, berbanding dengn CM Lim.

Bagi mengelakkan itu berlaku (konflik ketenteraan dengan USA), pemimpin Malaysia yang terpalit dalam skandal 1MDB ini, perlulah pergi ke USA dan menghadapi pendakwaan.  Itu yang dimaksudkan CM Lim, bukan menjemput campur tangan asing seperti mana fitnah cytro UMNO.
Soal bukti, itu kemudian, menyerah diri kepada DoJ dulu.

Perluas Siasatan Forex Bank Negara



BEKAS penolong gabenor Bank Negara, (Datuk) Abdul Murad Khalid kata, kerugian sekitar AS$10 bilion dalam perdagangan mata wang yang dikendalikan oleh bank pusat itu pada tahun 1990-an bagi kesan yang cukup besar terhadap rizab negara hari ini.

Gambar arkib: Abdul Murad (kiri)
Menurutnya, duit AS$10 bilion itu, akan meningkat nilainya dalam tempoh 25 tahun kepada AS$26.66 bilion, atau lebih RM100 bilion, jika disimpan dalam tabungan kerajaan dengan kadar faedah sebanyak empat peratus setahun.

"Jumlah kerugian itu adalah AS$10 bilion, yang bersamaan dengan kira-kira RM40 bilion hari ini," katanya dalam laporan surat khabar New Straits Times (NST) hari ini.

Saya jarang setuju dengan Abdul Murad. Walaupun saya kenal dia lama – sejak zaman Tun Daim dan Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Kewangan – saya dapati dia ini susah dibaca. Tindak-tanduk dia seolah-olah dia menyimpan dendam yang mendalam.

Tapi dalam hal siasatan ke atas kegiatan forex Bank Negara ini saya setuju tapi dengan syarat jangan hadkan kepada yang dulu saja.

Jadi walaupun Abdul Murad hanya sebut zaman dulu iaitu masa dia bertugas di Bank Negara dan Kementerian Kewangan, kita wajib siasat juga apa yang sedang berlaku sekarang.

Ini adalah kerana kedudukan rizab Bank Negara sebenarnya lebih teruk dalam era (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak daripada zaman dulu.

Pasal apa Abdul Murad tak cerita hal ini saya tak tahu. Nak kata dia makan dedak pun tak masuk akal sebab dia kaya.

Dia pernah kena denda RM500,000 sebab gagal isytihar harta berjumlah lebih RM24 juta (baca di sini). Pegawai kerajaan ada harta RM24 juta kira hebatlah!

Zaman Najib kerugian dan susutan rizab Bank Negara kerana kegiatan forex dan beban hutang lebih teruk daripada mana-mana tempoh sebelum ini.

Misalnya di antara 31 Disember 2014 dengan 31 Disember 2016, Rizab Antarabangsa Bank Negara jatuh merudum daripada AS$115.9 bilion (kira-kira RM509.96 bilion) kepada AS$94.6 bilion (RM424.2 billion).

Ini berupa kejatuhan sebanyak AS$21.3 bilion atau bersamaan RM93.72 bilion. Ada orang kata lebih teruk daripada itu. Antara punca kejatuhan rizab ialah Bank Negara masuk pasaran tukaran asing (forex) untuk pertahan nilai ringgit tetapi gagal.

Natijahnya, kalau zaman Tun Dr Mahathir kerugian forex AS$10 bilion (bersamaan RM25 bilion pada kadar tukaran masa itu) tetapi nilai ringgit tidak merudum macam sekarang.

Almarhum Tan Sri Jaffar Hussein ambil tanggungjawab.
Pada zaman Najib, susutan rizab melambung kepada AS$21.3 bilion (bersamaan RM93.72 bilion pada kadar tukaran semasa) dan nilai ringgit merudum ke paras paling rendah dalam sejarah.

Jadi saya setuju sebahagiannya dengan Abdul Murad dan saya rasa dia juga setuju dengan saya supaya siasatan ke atas kegiatan forex Bank Negara diperluas bagi meliputi apa yang berlaku di antara tahun 2014 dan sekarang apabila Rizab Antarabangsa bank pusat kita jatuh merudum.

Wallahuaklam.

Lori terbalik di Terowong Menora, amaran Amanah Perak jadi realiti

MALAYSIA DATELINE

Sebuah lori terbalik merentang jalan selepas Terowong Menora.

Gesaan Amanah Perak agar kerajaan negeri menyelesaikan isu 'kawasan hitam' Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) khususnya di laluan terowong Menora - Kuala Kangsar tambah mendesak dengan kemalangan terbaru membabitkan sebuah lori pagi ini.

Menurut maklumat daripada netizen yang tular di media sosial, sebuah lori terbalik dan menghalang jalan selepas terowong Menora menuju ke Kuala Kangsar mengakibatkan kesesakan teruk di laluan tersebut.

Tiada maklumat berhubung nasib pemandu dan kalendan lori tersebut dan jumlah kenderaan yang terlibat.
Para pengguna lebuh raya untuk ke utara dinasihatkan melalui jalan lama ke Sungai Siput seterusnya ke Kuala Kangsar bagi mengelak kesesakan lalulintas.
Amanah negeri Perak baru-baru ini menggesa kerajaan negeri agar tidak 'lepas tangan’ berhubung usaha mencari jalan alternatif bagi kawasan yang berisiko tinggi dan berbahaya kepada pengguna  terutamanya pada musim perayaan ini.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, sebelum ini, terdapat sebuah syarikat yang mencadangkan pembinaan lebuhraya baru dari Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas) namun malangnya ia terhenti begitu sahaja dan tiada kesungguhan kerajaan negeri mendapatkan sokongan kerajaan persekutuan.
Sedangkan katanya, kerajaan negeri Perak turut sama menguar-uarkan usaha ini.

"Amanah Perak yang telah membangkitkan perkara ini sebelumnya ingin melihat usaha yang dilakukan oleh syarikat tersebut dapat membantu pengguna yang ingin ke utara atau dari utara yang ingin ke Ipoh khasnya mendapat satu lagi jalan alternatif dan selamat untuk sampai ke destinasi yang ditujui khasnya," katanya dalam satu kenyataan.

Asmuni merujuk kemalangan yang melibatkan sebuah lori yang terbalik dan melintang jalan menyebabkan kesesakan panjang.

"Walaupun tidak mengakibatkan kematian namun situasi ini cukup perit bagi pengguna Lebuhraya Plus untuk ke utara yang terpaksa menempuh jalan yang sukar dan memakan masa yang lama untuk sampai ke tempat yang dituju," katanya.

Menurut beliau juga, walaupun kerajaan persekutuan telah meluluskan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bermula dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak tetapi ia tidak menyelesaikan masalah laluan berbahaya pengguna Lebuhraya Plus dari Tanjung Malim ke utara.

Justeru, katanya, Amanah Perak mendesak agar kerajaan negeri menyuarakan pandangan pelbagai pihak demi keselamatan pengguna jalan tersebut dengan segera.

"Laluan dari Terowong Menora-Sungai Perak cukup dengan sejarah hitam dan banyak yang telah terkorban apabila melalui laluan tersebut," katanya.

Sidang parlimen Julai ini sanggah tanggapan PRU awal

MALAYSIA DATELINE

Sidang Dewan Rakyat


Notis diterima anggota parlimen tentang persidangan parlimen bermula 24 Julai hadapan menangkis tanggapan bahawa pilihan raya umum (PRU) akan diadakan seawal Julai ini.

Notis bertarikh 9 Jun itu memaklumkan tentang mesyuarat kedua, penggal kelima, parlimen ketiga belas dan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Menurut notis tersebut, mesyuarat Dewan Rakyat akan berlangsung dari 24 Julai hingga 10 Ogos (12 hari) manakala Dewan Negara akan bermesyuarat dari 14 Ogos hingga 22 Ogos (enam hari).
Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata, pihaknya meramalkan parlimen mungkin akan dibubarkan sebelum sidang parlimen akan datang (sesi Julai 2017) supaya Rang Undang-undang 355 (RUU 355) tidak perlu dibahas.
Beliau turut mempersoalkan sama ada sidang itu akan diteruskan mengikut jadual dan adakah RUU 355 akan dibahaskan pada sesi itu

Teruk dikecam, Pas pertahan idea campur tangan asing

MALAYSIA DATELINE

Jho Low masih gagal didakwa pihak berkuasa Malaysia berhubung skandal 1MDB.


Setelah menerima kecaman daripada pelbagai pihak ekoran surat terbuka yang ditujukan kepada pemimpin politik berhubung campur tangan asing dalam isu saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), ketua penerangan Pas, Nasrudin Hassan tampil membela presiden partinya.

Menurut beliau, umum telah mengetahui individu-individu tertentu yang telah membuat aduan kepada pihak berkuasa di Paris, Switzerland dan Amerika Syarikat berhubung isu 1MDB.
"Soalnya, apa motif mereka buat aduan di US (Amerika Syarikat) mengenai isu 1MDB? Kenapa singkat akal mereka, lapor hal negara kita kepada Amerika yang berlagak polis dunia itu? Kita tahu ada pihak yang sengaja jemput US campur tangan isu dalam negara kita.
"Ini maksud Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengenai isu campur tangan asing. Apapun salah laku dalam negara, kita selesaikan perhitungannya dalam negara kita. Rakyat boleh guna kuasa undi dalam pilihan raya untuk tukar kerajaan," katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau juga memberikan perumpamaan "jangan undang beruang untuk tampar nyamuk di muka kancil" bagi merujuk tindakan 'mengundang campur tangan asing' itu.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa skandal kewangan seperti 1MDB, harus diselesaikan tanpa bantuan pihak asing.

Menurut mereka, kesalahan yang didakwa DoJ dilakukan individu terbabit di Amerika Syarikat dan negara itu berhak bertindak terhadap pelaku.

Abdul Hadi dalam surat terbuka yang diterbitkan laman rasmi Pas 22 Jun lalu mendakwa skandal kewangan seperti BMF, Perwaja Steel, Tabung Haji dan 1MDB perlu 'diselesaikan secara dalaman' berbanding menjemput bantuan asing.

Mengulas kenyataan Abdul Hadi itu, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Malaysia terhadap skandal 1MDB manakala agensi penguatkuasaan tempatan melengah-lengahkan siasatan terhadap 1MDB.

Sedangkan katanya, DoJ telah mengajukan tiga saman sivil untuk merampas aset yang dibeli dengan dana berjumlah US$4.5 bilion (RM19.4 bilion) yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

"Sudah tentu, ramai yang gembira kerana ada sesuatu sedang dilakukan di luar negara tentang ibu semua skandal ini kerana penguatkuasa undang-undang di Malaysia tidak melihat sebarang kesalahan walaupun terdapat bukti besar yang berlawanan," kata Ambiga, yang juga presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).

Beliau menyifatkan surat terbuka Hadi sebagai mencerminkan "salah faham" tentang ciri tanpa sempadan aktiviti jenayah yang berkaitan dengan 1MDB.

"Ia tidak terhad kepada Malaysia. Ia bersifat antarabangsa. Dan setiap kerajaan luar, bagi setiap jenayah yang dilakukan di sana, ia mempunyai hak untuk mengambil tindakan. Kita tidak boleh menghentikannya," kata Ambiga.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk mengganggu sistem perundangan Amerika Syarikat dan memberitahu mereka apa yang tidak atau boleh dilakukan.

Di masa yang sama, katanya mencadangkan isu 1MDB ditangani secara domestik adalah sia-sia kerana peguam negara sendiri meminta polis untuk menyiasat lebih lanjut.

Hadi dalam surat terbukanya mahu pihak berkuasa mengendalikan skandal kewangan itu dengan "sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri".

Pakar ekonomi Ramon Navaratnam yang mengetuai pemikir Pusat Pengajian Dasar Awam, berkata Hadi "sangat defensif dengan status quo".

"Kita tidak boleh menjadi 'myopic' (tidak berpandangan jauh) dan hidup sendiri," kata bekas pengerusi Transparency International itu.

"Kita perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh. Kita perlu mengalu-alukan kritikan membina," kata Ramon.

DoJ meneruskan tindakan undang-undang pada 15 Jun untuk merampas aset US$540 juta yang dipercayai dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB kerana jenayah itu dilakukan di Amerika Syarikat (AS).

DoJ turut memfailkan saman merampas harta di London yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB.

Saman terkini adalah paling penting sejak Julai lalu apabila pihak berkuasa AS pertama kali mengisytiharkan rakyat Malaysia ditipu dalam skala besar berkaitan dengan 1MDB.

DoJ sedang berusaha menyita harta milik jutawan kontroversi warga Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low (gambar) yang merangkumi kapal layar mewah bernama Equanimity bernilai AS$165 juta, karya seni, barang kemas dan hartanah di New York serta Los Angeles.

"Hadi perlu sedar Jho Low dan rakan-rakannya dituduh mengambil dana berkaitan IMDB dan membersihkannya di seluruh dunia," kata Cynthia Gabriel, pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

"Jadi, negara di mana wang itu dibelanjakan  disiasat, seperti hak mereka sendiri," kata Cynthia, yang baru-baru ini menerima Anugerah Demokrasi 2017 oleh National Endowment for Democracy yang berpangkalan di AS.

Ironinya, Cynthia berkata gesaan Hadi dapat dilihat sebagai usaha agar Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes itu, berdasarkan fakta baru daripada pemfailan saman AS baru-baru ini.

"Hadi kedengaran seperti seorang menteri Umno," kata Azmi Sharom, profesor undang-undang di Universiti Malaya.

"Ini adalah bahasa emosi yang biasa digunakan untuk melindungi hakikat dana IMDB digunakan di AS, bercanggah dengan undang-undang mereka dengan tindakan DoJ," katanya.

Surat terbuka Hadi juga boleh menjadi percubaan untuk memperjuangkan dasar luar bandar Pas.

"Adakah orang Melayu begitu terpempan apabila anda menyebut Islam dan penjajahan sehingga mereka tidak dapat melihat dengan jelas? Hadi fikir begitu!"

Pada 15 Jun, pemangku Peguam Negara AS Kenneth Blanco berkata: "Kami tidak akan membenarkan AS menjadi tempat di mana individu yang korup boleh mengharapkan untuk menyembunyikan aset dan membelanjakan wang yang banyak yang sepatutnya digunakan untuk faedah rakyat negara lain."

Sama ada 1MDB atau "Malaysian Official 1" (MO1), yang dipercayai oleh DoJ menjadi penerima dana kira-kira US$1 bilion, dinamakan sebagai defendan dalam saman jenayah AS.

MO1 sebelum ini dikenal pasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak oleh menteri Abdul Rahman Dahlan.

Peguam Negara Malaysia, Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib dari sebarang kesalahan.

Bayaran balik PTPTN kini lebih mudah

MALAYSIAKINI

 

Dalam usaha memudahkan bayaran balik pinjaman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memperkenalkan kemudahan permohonan direct debit secara online sebagai saluran bayaran balik pinjaman PTPTN.

Saluran ini adalah tambahan kepada saluran bayaran balik pinjaman sedia ada seperti perbankan internet, potongan gaji, FPX, MyPay dan JomPay.

Menurut PTPTN, inisiatif ini bukan sahaja mampu mempercepatkan proses bayaran balik pinjaman, malah ia juga lebih selamat berbanding membuat bayaran balik secara fizikal.

Kemudahan direct debit ini sebenarnya telah lama dilaksanakan sejak 2 November 2016 melalui kerjasama dengan MyClear dan Bank Islam.

Sebelum ini, peminjam perlu memohon direct debit secara manual dengan mengisi borang fizikal di kaunter PTPTN, namun wujudnya kerumitan apabila permohonan peminjam ditolak akibat kesilapan melengkapkan borang atau tandatangan yang berbeza.

Maka, untuk menyelesaikan masalah tersebut, langkah proaktif telah diambil PTPTN untuk memperkenalkan permohonan direct debit secara online yang boleh diproses dalam masa tiga hari bekerja.

Selain bayaran balik pinjaman, PTPTN juga menjelaskan bahawa kemudahan direct debit merupakan satu saluran baharu untuk penambahan deposit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

 

Kelebihan direct debit

 

Peminjam yang memilih saluran direct debit untuk membayar balik pinjaman PTPTN layak menikmati diskaun sebanyak 10%.

Peminjam juga dapat memastikan bayaran balik pinjaman mereka dibuat secara konsisten dan sekali gus membantu mengelakkan peminjam daripada dikenakan tindakan undang-undang dan memastikan rekod peminjam bersih dan baik dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Direct debit juga merupakan alternatif terbaik kepada peminjam yang ingin membuat bayaran balik pinjaman PTPTN setiap bulan sekiranya mereka tidak berhasrat untuk memilih saluran potongan gaji.

 

Langkah permohonan kemudahan direct debit

 

Untuk membuat permohonan bagi kemudahan direct debit, kunjungi portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Seterusnya, klik pada bahagian ‘permohonan direct debit’ di bawah ruangan ‘perkhidmatan atas talian’.

Permohonan hanya perlu dibuat untuk sekali sahaja. Selepas permohonan tersebut diproses, bayaran bulanan akan diuruskan melalui kerjasama di antara pihak PTPTN dan pihak bank yang dipilih.
Proses permohonan ini juga adalah percuma.

Pastikan bahawa status akaun bank yang dipegang adalah aktif. Pemohon juga perlu pastikan bahawa jumlah potongan wang bagi bayaran balik pinjaman adalah sama atau melebihi jadual ansuran bulanan yang telah ditetapkan pihak PTPTN.

Kemudahan direct debit ini tersedia dalam bank-bank yang tersenarai dibawah:

 

Bank Tempatan

 

Bank Antarabangsa


Sekiranya peminjam menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu membayar balik pinjaman PTPTN berdasarkan jadual ansuran bulanan yang ditetapkan pihak PTPTN, peminjam boleh
menghubungi Careline PTPTN, 03-2193 3000 untuk membuat rundingan serta penstrukturan semula pinjaman PTPTN berdasarkan kemampuan kewangan peminjam.