Seorang Exco Pemuda UMNO menegaskan krisis kepercayaan
terhadap pucuk kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang
menyebabkan anggota parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu keluar
PPBM.
Menafikan dakwaan Dr Mahathir selaku pengerusi PPBM
bahawa UMNO menawarkan sehingga RM50,000 bagi anggota PPBM meninggalkan
parti itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata sebaliknya perkara
tersebut berlaku apabila pucuk pimpinan PPBM tidak menjawab beberapa isu
yang dibangkitkan anggotanya sendiri.
"Orang-orang kamu (anggota PPBM) bertanyakan mengenai
(dakwaan) kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak kamu (Dr
Mahathir), tapi beliau (Dr Mahathir) sendiri tidak menjawabnya.
"Sebab itulah ada anggota PPBM membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasatnya sehingga
ada juga yang hilang kepercayaan lalu meninggalkan parti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui
pada program isi minyak percuma kepada lebih 500 penunggang motosikal
dan pengagihan 2,000 bungkus bubur lambuk anjuran Pemuda UMNO Bahagian
Titiwangsa di stesen minyak Petron di Keramat, di Kuala Lumpur, hari
ini.
Dr Mahathir dalam blognya semalam mendakwa anggota PPBM
menerima tawaran antara RM10,000 hingga RM50,000 supaya meninggalkan
parti itu selain perlu menandatangani satu dokumen perjanjian mengundi
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Pada Selasa, anggota Exco Angkatan Bersatu Anak Muda
PPBM, Mohamad Taufik Abas membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat
kemungkinan pernah berlaku salah laku, penyelewengan dan salah guna
kuasa melibatkan pemimpin tertinggi parti itu.
Turut membuat laporan berhubung dakwaan isu kekayaan
keluarga bekas perdana menteri itu ialah Anggota Jawatankuasa PPBM
Bahagian Shah Alam Wan Mohamad Ashraf Nasjaruddin di pejabat SPRM
Selangor di sini hari ini.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan