PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi gempur
besar-besaran di seluruh negara bermula tengah malam ini bagi mengesan
pendatang tanpa asing (PATI) selaras dengan tamatnya tempoh permohonan
kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad), hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata selepas tempoh
tersebut selain tangkapan ke atas PATI, majikan juga akan dikenakan
tindakan undang-undang atas kesalahan melindungi serta menggaji PATI
mengikut Seksyen 56(1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963
termasuk menggaji warga asing yang menyalahgunakan pas pelajar mereka.
"Saya sudah tegaskan banyak kali bahawa tarikh akhir pendaftaran adalah
pada 12 tengah malam ini, dan ia tidak akan di sambung," katanya pada
sidang media, di Putrajaya hari ini.
Menurut Mustafar, pihaknya ternyata kecewa dengan sikap berlengah para
majikan yang tidak membuat pendaftaran dengan lebih awal walaupun
program tersebut telah dilancarkan sejak 15 Februari lalu.
Beliau berkata setakat jam 8 pagi tadi, hanya 23 peratus iaitu 155,680
PATI melibatkan 26,957 majlikan telah membuat permohonan dan sebanyak
140,746 E-Kad telah dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada
sasaran asal 600,000 PATI.
Menurutnya, warga Bangladesh adalah warganegara PATI yang tertinggi mendaftar E-Kad diikuti Indonesia, Myanmar dan Nepal.
Katanya, walaupun permohonan ditutup pada jam 12 tengah malam ini,
tetapi para pegawai terpaksa bekerja sehingga 7 pagi esok bagi memproses
kesemua dokumen yang sedia ada.
Malah, katanya, atas kapasiti yang terbatas, permohonan majikan yang
datang ke pejabat Imigresen selepas 11.30 pagi tadi terpaksa diketepikan
terlebih dahulu bagi pihaknya memproses kesemua permohonan yang sedia
ada.
Mustafar turut memaklumkan pihaknya menahan beberapa orang, yang
didakwa sebagai ejen, yang mengambil kesempatan dengan mengeluarkan
E-Kad palsu.
Katanya, permohonan E-Kad perlu diuruskan sendiri oleh majikan tanpa melibatkan orang tengah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan