HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Jun 2017

‘Kawan lama’ harap Anwar kembali kepada Umno

AKHBAR RAKYAT



PETALING JAYA: Bekas rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri S. Nallakaruppan menasihatkan Anwar menyertai semula Umno demi perpaduan Melayu, menyifatkan parti itu lebih baik daripada gabungan Pakatan Harapan yang disertai Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memecatnya pada 1998.

“Ini nasihat untuk kawan lama saya. Saya lihat Melayu kini berpecah. Lupakan mengenai masa lalu. Melayu akan menerima manfaat daripada kerjasama ini,” kata Nallakaruppan kepada Utusan Malaysia.

“Melayu adalah majoriti dalam negara dan perlu bersatu. Jika mereka berminat mereka boleh beritahu dan saya sanggup membantu.”

Nallakaruppan, yang kini mengetuai Parti Bersatu India Malaysia, berkata Anwar perlu lebih bijak untuk mengetahui agenda Dr Mahathir yang menurutnya mahu menjadi perdana menteri sekali lagi.

Nallakaruppan yang pernah terlibat dalam syarikat judi Magnum, terkenal sebagai rakan tenis Anwar, dan ditangkap 4 minggu sebelum pemecatan Anwar pada September 2, 1998.

Beliau kemudian disabitkan kesalahan memiliki peluru hidup di bawah Akta Senjata Api 1971 dan menjalani hukuman penjara setahun.

Beliau muncul semula pada 2006 dengan menyertai PKR, tetapi keluar pada tahun berikutnya selepas kecewa tidak dilantik menjadi calon pilihan raya kecil Ijok.

Selepas beralih sokongan kepada kerajaan, Nallakaruppan dilantik menjadi senator pada 2011.
Nallakaruppan berkata beliau sanggup memainkan peranan orang tengah untuk menyatukan Anwar semula ke dalam Umno.

Katanya ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan Anwar pernah memimpin Umno.

“Bila Anwar kembali, beliau boleh melakukan sesuatu yang baik kepada rakyat dan Umno. Saya tidak mahu mereka (Melayu) berpecah.”

Tiada ulasan: