HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Jun 2017

Hadi Awang tolak campur tangan asing dalam isu 1MDB


 Oleh Athirah Huda Zalhe




BANGI – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua parti politik negara supaya menolak campur tangan kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara, yang bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

Beliau berkata, Al-Quran mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman.

“Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran. 

“Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian, merujuk masalah dalaman berkaitan isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Perwaja, Tabung Haji, KWSP dan terkini isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB.

Merujuk sejarah alam Melayu, beliau berkata, kejayaan penjajah menjatuhkan kerajaan Melayu Islam Melaka ketika itu apabila sekolompok pihak tertentu menjemput penjajah, yang akibatnya Rantau Nusantara dibahagi kepada kuasa asing.

“Begitulah juga, jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, Perwaja, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

“Apapun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. 

“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.

Katanya, cukuplah negara dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya yang masih belum sembuh sehingga ke hari ini.

“Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita.

“Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita,” katanya.



Tiada ulasan: