HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Jun 2017

Apa itu rawatan terapi ozon?

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rawatan terapi ozon mula memasuki Malaysia dan dikenali pada sekitar tahun 2000, yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta melambatkan proses penuaan.
 
Terapi ozon tidak mengandungi pakej pengambilan ubat-ubatan, sebaliknya ia sekadar penyaluran masuk ozon (O3) ke badan pesakit. 
 
Ia juga dipanggil proses pengozonan dan pengoksidanan darah atau lebih mudah memahaminya, menerusi proses pengoksidanan, sistem badan akan berfungsi jauh lebih baik kerana dibekalkan atau mendapat oksigen secukupnya.
 
Namun pada Mei tahun ini, rawatan berkenaan diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta merta ekoran penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik ini bagi merawat mana-mana penyakit.
 
Malah bukan itu sahaja, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mendakwa ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian.
 
Sehubungan itu pihak Antarapos, menemubual seorang doktor yang mempunyai pengalaman dalam dunia perubatan ozon ini sejak 2001.
 
Dr Mohd Nasir Sulaiman merupakan salah seorang pelopor pertama dalam menggunakan rawatan ini yang dikenali dengan nama saintifik sebagai Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO).
 
Beliau berkata, rawatan seumpama ini didakwa mampu mengekalkan tahap kesihatan manusia, selain membantu proses penyembuhan penyakit.
 
“Terapi ozon ni menggunakan udara atau gas ozon perubatan yang boleh dimasukkan dalam darah manusia. Jadi kesan yang boleh kita mengharapkan adalah memperbaiki kualiti darah seseorang, maksudnya supaya oksigen dalam darah meningkat. 
 
"Apabila dia meningkat, pada orang yang sakit ia memperbaiki masalah kesihatan yang ada. Pada orang yang sihat, kita mengharapkan dapat memperkuatkan kesihatan.
 
"Saya selalu menyamakan untuk memperbaiki kualiti darah ni sama seperti kenderaan kitalah. Kenderaan perlu servis, beli baru atau lama sama saja. Kenapa perlukan servis? Sebab kita ingin mengekalkan kereta itu bertahan lama, kalau ada masalah pun tak adalah sampai ‘overhaul’ sehingga ganti yang baru," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual sempena Aidilfitri.
 
Tetapi menurut beliau lagi yang mendapat Sijil Perubatan (Medical Degree) di Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh, Indonesia ini seringkali menegaskan pesakitnya dilarang sama sekali meninggalkan ubat yang diberi doktor hospital untuk penyakit tertentu.
 
Malah Dr Nasir menjelaskan rawatan terapi ozon ini merupakan kaedah alternatif sahaja dan bukan jaminan untuk pesakit pulih 100% selepas mendapat rawatan.
 
“Banyak orang mendakwa terapi ozon ni bersifat alternatif tetapi ia bukan, sebaliknya adalah rawatan sokongan. Kalau alternatif bermaksud ia meninggalkan sesuatu yang lama dan ambil yang baru. 
 
"Sebab tu dalam terapi kita tak pernah suruh pesakit berhenti ambil ubat, terapi ozon ini hanya memperbaiki kualiti darah. Apabila darah berkualiti, kesan ubat akan meningkat sehingga dos ubat yang kita gunakan akan menurun sekaligus akan mengurangkan orang yang menggunakan ubat," jelasnya.
 
 

Tiada ulasan: