KUANTAN: Sebuah kapal tangki membawa minyak diesel milik syarikat
Thailand disamun sekumpulan lelaki dipercayai lanun ketika berada di
perairan luar Kuantan pada 23 Jun lalu.
Ketua Tentera Laut Thailand Bahagian ke-2 Laksamana Pornchai Pinthong
berkata sekumpulan enam atau tujuh lanun itu berjaya mencuri 1.5 juta
liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan yang
dibawa kapal itu.
"Kapal itu yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla dari Singapura," katanya kepada pemberita hari ini.
Kapal tangki dikenali CP14 itu yang membawa 17 anak kapal meneruskan
pelayaran ke Thailand selepas kejadian dan selamat tiba di perairan
Songkla petang semalam, katanya.
Pinthong berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam di perairan Kuantan
apabila kapal tangki itu dinaiki kumpulan lanun terbabit yang bertindak
mengikat kapten dan semua anak kapal serta memusnahkan peralatan sistem
amaran keselamatan kapal.
Semua lanun itu membawa senjata dan mengancam akan mencederakan anak
kapal jika tidak mengikut arahan, katanya dan menambah, kesemua anak
kapal bagaimanapun tidak dicederakan.
Beliau juga berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa
Malaysia berkenaan kejadian terbabit untuk tindakan lanjut.
Tentera Laut Thailand turut meminta kapal-kapal supaya berhati-hati
ketika belayar di kawasan perairan terbabit berikutan ancaman daripada
lanun.
Hari ini, Tentera Laut Thailand menghantar kapal tenteranya ke kapal
tangki terbabit yang sedang berlabuh di perairan berhampiran Pulau
Tikus, Songkla untuk memeriksa keadaan kapal itu serta krunya.
Pemeriksaan turut disertai pegawai Jabatan Kastam serta Jabatan Khidmat dan Perlindungan Buruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan