Oleh Zeanaaima Md Yusof
SHAH ALAM: Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali tidak cukup
syarat untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang berkualiti, kata Yang
Di-Pertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.
Ujarnya yang juga bekas Menteri Besar Selangor, seseorang yang memegang
jawatan nombor satu dalam negeri itu harus memiliki kemahiran
berpolitik dan berkoprat dalam satu masa.
Khalid ujarnya mahir berkoprat tetapi tidak pandai berpolitik, begitu
juga Azmin yang licik berpolitik namun cetek ilmu dalam bidang koprat.
"Seorang mahir koprat (Khalid), seorang lagi ahli politik (Azmin). Tan
Sri Khalid memang amat fasih dan mementingkan aspek koprat, ekonomi dan
perniagaan.
"Manakala Azmin pula fokus pada berpolitik. Jadi kedua-duanya tidak
boleh pakai. Sepatutnya untuk jadi menteri besar mesti ada kebolehan
dari segi politik mahupun koprat. Paling penting berkhidmat untuk
rakyat," ujarnya.
Khalid sewaktu mentadbir Selangor selalu mendapat pujian kerana berjaya mengumpul rezab negeri hampir RM4 bilion.
Namun ketegasan serta keengganannya menyumbang dana selain kerap kali
membelakangkan kepimpinan parti dalam membuat keputusan, menumbilkan
rasa tidak senang PKR terhadapnya.
Natijahnya, Khalid digulingkan partinya sendiri daripada kerusi panas itu menerusi Langkah Kajang.
Kekosongan kerusinya diisi Azmin yang diketahui umum amat licik dalam mengatur gerak politik.
"Menteri besar sekarang lebih kepada politiking. Bukan politikng
didalam partinya sendiri, tapi di antara parti-parti dalam Pakatan
harapan.
"Banyak perkara yang melibatkan rakyat tertinggal, ada yang menyebut
demontrasi sana sini, berkaitan perumahan, kebersihan, keadaan yang
berlaku di kalangan PBT.
"Boleh jadi Azmin, pemimpin parti yang boleh dibanggakan tapi sebagai
pemimpin kerajaan dia tidaklah (hebat) sepertimana bekas-bekas menteri
besar yang dahulu," ujarnya lagi.
Pun begitu, lebih dua tahun menjadi menteri besar, Azmin berjaya
membuktikan pendapatan Selangor tetap yang tertinggi dalam negara, malah
rezab negeri juga semakin meningkat, tidak kurang hebatnya dengan zaman
pemerintahan Khalid.
Namun Ahli Parlimen Gombak itu perlu lebih bekerja keras berikutan
makin kedengaran suara tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, terutama
di kalangan masyarakat minskin bandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan