HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Jun 2017

41 BILIK PRESIDENTIAL SUITES DI BALI, SIAPAKAH LAGI YANG IKUT BERCUTI BERSAMA DENGAN NAJIB?

shahbudindotcom

Setelah terdedah percutian lima hari Najib Razak dan keluarganya di Bali bermula bermula 2 Syawal yang lalu, persoalan terbaru yang kini timbul ialah siapakah yang turut bercuti bersama dengannya?

Menurut laporan media Indonesia, Metronews.com, Najib yang menginap di Hotel St. Regis akan tinggal bilik yang sama yang pernah ditempah oleh Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti di Bali pada Mac yang lalu.

Bilik tersebut dikira mewah kerana bertaraf Presidential Suites.

Menurut media tersebut lagi, rombongan Najib sebenarnya menempah 41 bilik yang kesemunya bertaraf Presidential Suites sepanjang percutiannya selama lima hari di Bali itu.

Dilaporkan juga, dalam percutian itu Najib turut disertai oleh enam anak-anaknya. 

Jumlah ini tentunya termasuk anak Najib dan Rosmah daripada perkahwinan mereka yang terdahulu kerana hasil perkahwinan Najib dengan Rosmah, mereka hanya mempunyai dua orang anak saja.

Soalnya, siapa lagi yang ikut serta dalam percutian tersebut?

Jika mereka itu termasuk ahli keluarga yang lain, pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri atau rakan-rakan Najib, mengapa kesemuanya menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?

Siapakah yang akan membayar semua kos bilik mewah untuk percutian itu dan berapa jumlah keseluruhannya?

Jika menggunakan dana kerajaan, apakah semua ahli keluarga, pegawai-pegawai dan rakan-rakan Najib mempunyai kelayakan menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?

Selain itu, timbul juga persoalan sama ada St Regis Bali turut dimiliki oleh Peter Sondakh yang diketahui memiliki Hotel St Regis di Langkawi.

Peter Sondakh adalah pemilik Eagle High Plantation yang 37 peratus sahamnya baru-baru ini dibeli oleh Felda dengan harga AS$505 juta atau lebih RM2,200 juta.

Pembelian itu mendapat kritikan ramai, bukan saja kerana hubungan akrab Najib dengan Peter Sondakh, tetapi juga kerana harganya yang dikira tinggi berbanding nilai pasaran semasa serta dianggap tidak memberi banyak manfaat kepada peneroka Felda.

Jika Hotel St. Regis Bali turut dipunyai oleh Peter Sondakh, mungkinkah percutian  Najib kali ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada ahli perniagaan terkenal Indonesia itu?

Tiada ulasan: