Pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mahu jemaah menteri menggunakan kuasa veto bagi membatalkan pelantikan kontroversi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau memberi amaran, jika ini tidak dilakukan, kerajaan akan menyaksikan lebih banyak bantahan termasuk protes di seluruh negara.
Pada 19 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusannya untuk memindahkan Isa, yang adalah bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), ke SPAD.
"Perdana menteri dan anggota kabinet harus yakin sekarang bahawa pelantikan Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD adalah pelantikan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang paling tidak popular.
"Jika kabinet tidak mempunyai keberanian moral dan politik untuk melakukan apa yang betul untuk negara dengan membatalkan pelantikan Isa yang dibuat oleh Najib, maka 36 menteri itu mesti beredia berdepan dengan protes yang dijangka semakin menjadi-jadi.
“Ini mungkin menjadi bantahan nasional yang akan menerima sokongan padu rakyat yang sudah bosan dengan rasuah dan kronisme yang terang-terangan di bawah kerajaan Umno dan Barisan Nasional," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Kabinet dijadual mengadakan mesyuarat mingguannya esok.
Semalam, Jawatankuasa Bertindak Pemandu Lembah Klang mengumumkan satu protes terhadap pelantikan Isa akan diadakan, lapor portal The Malaysian Insight.
"Tujuan utama protes kita ialah kita mahu jawatan Isa diganti dengan orang yang lebih bersih.
"Bagi kami, ini sebagai satu bentuk penjajahan politik baru ke atas SPAD dengan membawa masuk orang politik seperti mana yang terjadi kepada Felda,” kata pengerusi jawatankuasa bertindak itu, Zailani Isausuludin, sambil menambah kira-kira 800 pemandu dijangka menghdariri demonstrasi pada 3 Julai nanti di Dewan Sivik Petaling Jaya.
Isa adalah Ahli Parlimen Jempol di Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan