HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Jun 2017

Hanya kerana difitnah, rawatan terapi ozon diharamkan, dakwa Dr Nasir

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Susulan pengharaman rawatan terapi ozon pada Mei lalu, banyak pusat rawatan alternatif itu terpaksa ditutup sehingga memberi keresahan kepada pemilik mahupun pengendalinya mengenai nasib dan masa depan mereka.
 
Dr Mohd Nasir Sulaiman yang memiliki sebuah pusat terapi berkenaan di TTDI Jaya meluahkan rasa kesal dengan arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
Walaupun akur dan telah memberhentikan operasi pusat berkenaan, tetapi beliau kecewa dan mendakwa rawatan tersebut diharamkan gara-gara penyebaran fitnah yang disebarkan di laman media sosial.
 
Malah beliau yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit mendakwa, kenyataan-kenyataan berkenaan adalah fitnah semata-mata dan tiada bukti yang konkrit untuk menyokong kesahihannya.
 
“Serangan terhadap terapi ozon ni sudah lama, kalau tengok di alam media sosial begitu banyak yang anti terapi ozon. Tetapi fakta-fakta yang mereka beri itu banyak yang berunsur fitnah. 
 
"Jadi saya melihat unsur fitnah ni semakin menjadi-jadi terutama sekali ada yang mengatakan darah masuk ke dalam mesin. Menteri juga buat kenyataan yang sama, jadi saya merasakan rentetan cerita itu hanya berdasarkan viral dan tidak mempunyai fakta yang benar sehingga mempengaruhi orang yang berpengetahuan tapi tidak bijak," luahnya kesal.
 
Tambah Dr Nasir lagi, yang juga merupakan pengasas My Ozone Technology bersama dengan jurutera yang memberi fokus kepada penyelidikan dan mencipta generator ozon buatan sendiri, yakin bahawa tiada lagi kes darah memasuki mesin-mesin berkenaan dicatatkan sepanjang ia beroperasi sejak tahun 2000.
 
Malah ujar beliau, juga tiada kes kematian yang direkodkan selepas mendapat rawatan ini. 
 
"Dia (pihak memfitnah) sendiri tidak tahu macam mana, dia juga buat kenyataan perkara itu membahayakan dan memudaratkan pesakit. Sedangkan apa yang kita lakukan salah satunya adalah cuci darah ozon ni. Perkara ini tidak ada kaitan pun darah masuk dalam mesin sehingga katanya terapi ozon mematikan orang," tegasnya.
 
Tambahnya, jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, beliau adalah pihak pertama yang tampil untuk memberhentikan perkhidmatan itu.
 
Katanya, mana-mana rawatan sekalipun turut berdepan dengan risiko kematian dan adalah tidak wajar rawatan terapi ozon sahaja yang dikenakan tindakan.
 
“Kita melihat dalam persatuan ni melihat terapi ozon ni mendatangkan manfaat, kalua tak bermanfaat saya sendiri akan haramkan untuk diri sendiri. Kenapa saya nak buat sesuatu yang memudaratkan manusia? 
 
"Kalau betul ada yang mati kenapa kita nak buat orang lain mati? Tapi kalau ikut logik mana-mana rawatan pun ada (risiko) kematian. Jadi apakah dengan ada kematian kita akan haramkan rawatan tersebut? Tu pun kalau memang betul ada, ni bila ada fitnah kata mati terus diharamkan," katanya kecewa.
 
 

Tiada ulasan: