Serangan berdekatan Masjidil Haram yang menempatkan Kaabah di Makah sesuatu yang memeranjatkan, tetapi bukanlah kejadian aneh.
Laporan berita berkata tiga kumpulan
dalam negara, dua berasal dari dari Makah dan satu dari Jeddah terbabit
dalam serangan berkenaan. Namun nama-nama kumpulan tidak diumumkan.
Dalam pada itu kerajaan Arab Saudi berkata, penyerang mungkin warga asing, selepas lima orang diberkas termasuk seorang wanita.
Tidak pula disebut bilangan sebenar
penyerang, kecuali seorang daripadanya menembak diri sendiri semasa
berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.
Meskipun pasukan keselamatan berjaya
menghalang kemusnahan lebih buruk, sebelas orang sempat cedera termasuk
enam ekspatariat dan lima anggota keselamatan. Kecederaan mereka bukan
kerana serangan tetapi akibat bangunan tempat persembunyian pengganas
diletupkan.
Sasaran serangan sebenar adalah Masjidil Haram, masjid paling suci dan paling besar bagi umat Islam.
Meskipun siapa penyerang dan alasan
serangan belum diumumkan, dunia dapat menjangka mereka adalah musuh
Islam nombor satu kerana sasaran sebenar serangan adalah Masjidil Haram
dan berlaku hanya dua hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.
Namun banyak punca lain boleh dikaitkan
dengan serangan Jumaat lalu. Arab Saudi sebenarnya mempunyai banyak
musuh. Hubungan baik dengan Amerika dan Israel antara punca
negara-negara Islam lain membenci kerajaan beraja negara itu, kecuali
negara-negara yang mempunyai hubungan dagang serta memerlukan bantuan
dana dari raja Arab Saudi.
Bagaimanapun, tidak semua rakyat di
negara yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi, bersetuju dengan hubungan
diplomatik kerajaan mereka. Ramai yang melihatnya secara sinis dan
menunggu masa untuk bertindak balas.
Serangan ke atas Yaman dan penglibatan
secara langsung kerajaan Arab Saudi dalam kemelut yang masih berlangsung
di Syria turut menambah musuh mereka. Arab Saudi didakwa antara negara
Islam yang membiayai kumpulan-kumpulan pengganas menggugat keamanan
Syria.
Sengketa dengan Qatar turut meningkatkan
bilangan musuh kerajaan Arab Saudi. Qatar dituduh menyebelahi pengganas
kerana memusuhi Israel dan menyokong perjuangan Hamas yang berusaha
membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel. Qatar juga menyokong
perjuangan Hezbollah yang membantu Hamas memperjuangkan Palestin.
Bagi Arab Saudi, Hamas dan Hezbollah adalah kumpulan pengganas kerana memusuhi Israel, senada dengan suara Amerika.
Ajaran Wahabi yang menjadi tunjang
kumpulan-kumpulan pengganas yang kononnya berusaha menubuhkan negara
Islam bermula dari Arab Saudi pada abad ke-18. Ajaran itu menjadi anutan
kerajaan beraja negara itu. Bagi menyebarkan ajaran yang terkeluar dari
Ahli Sunah itu, kerajaan Arab Saudi membiayai penubuhan sekolah-sekolah
agama di banyak negara dunia.
Kerajaan juga membiayai
kumpulan-kumpulan pengganas berasaskan Wahabi. Ini termasuk Al Qaeda,
ISIS, Al Nusra atau Nusra Front, Taliban dan sebagainya, termasuk yang
beroperasi di negara-negara Afrika.
Dan kalaulah serangan Makah dilakukan
salah satu daripada kumpulan berasaskan Wahabi itu, ini bagaikan senjata
makan tuan. Sebelum ini, dalam dua serangan pada 2015, kumpulan ISIS
mengaku bertanggungjawab. Serangan pertama di masjid Imam Ali di Qudayh
yang membunuh 21 orang dan satu lagi serangan di luar sebuah masjid dan
Dammam, lima orang terbunuh.
Sebenarnya, Arab Saudi, sudah banyak
kali menghadapi serangan ganas seperti itu sejak beberapa tahun
kebelakangan, atau sekurang-kurangnya berjaya menghalang serangan
daripada berlaku.
Oktober tahun lalu pasukan keselamatan
Arab Saudi berjaya menghalang percubaan serangan semasa perlawanan akhir
bola sepak di Jeddah. Empat warga Pakistan dan empat warga tempatan
antara yang diberkas, selepas seorang daripada penyerang meletupkan
dirinya dekat konsolat Amerika.
Manakala bulan Julai tahun lalu, tiga
letupan bunuh diri berlaku di tiga bandar- Madinah, Jeddah dan Qatif.
Beberapa kematian di kalangan pasukan keselamatan berlaku tetapi tidak
ada kumpulan mengaku bertanggungjawab. Namun ISIS atau kumpulan gabungan
ISIS dijangka terbabit.
Dalam pada itu, masjid puak Syiah turut
menjadi sasaran serangan pengganas. Pada Januari tahun lepas masjid
Al-Ahsa menjadi sasaran dan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh. Dan
sekurang-kurangnya 13 lagi terbunuh dalam letupan bunuh diri di sebuah
masjid di wilayah Asir pada Ogos 2015. Lima lagi terbunuh dalam serangan
masjid di Saihat.
Dan masalah terbaru Arab Saudi
melibatkan rombakan dalam kerajaan monarkinya apabila Raja Salman
melantik anaknya, Mohammed bin Salman, 31 tahun menggantikan sepupunya
Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota.
Apa yang kita tahu Mohammed bin Salman
yang juga memegang jawatan Menteri Pertahanan sangat berminat dengan
peperangan. Dia yang bertanggungjawab dalam siri serangan udara yang
menghancurkan Yaman, membunuh berpuluh ribu rakyat negara itu sejak
2015.
Meskipun perlantikan ini diyakini dapat
mengeratkan hubungan dengan Amerika, termasuk melibatkan pembelian
senjata bernilai 110 bilion dolar, tetapi hubungan dengan pihak yang
membenci Amerika dan memusuhi Israel pasti merosot. Tidak mustahil
mereka antara yang terbabit dalam serangan Jumaat lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan