Gerakan Pulau Pinang menyifatkan pemecatan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) yang dilantik Parti Keadilan Rakyat (PKR) ole kerajaan negeri pimpinan DAP sebagai satu tindakan membuli PKR.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata situasi tersebut juga menunjukkan PKR Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa sebenar sehingga tidak berani berdepan dengan DAP.
Beliau mendakwa pengerusi JKK Kampung Juru di Simpang Ampat dekat sini dipecat berkuat kuasa 1 Jun lalu.
"Dalam isu pemecatan ini, disebabkan pengerusi JKKK ini tidak mahu menyertai DAP, maka dia dipecat oleh kerajaan negeri DAP dan saya percaya banyak lagi kes yang telah dan akan berlaku pada masa depan, dan ini merupakan sebahagian kecil daripadanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oh juga mendakwa berlaku pembekuan peruntukan di kawasan PKR sebelum ini.
"PKR Pulau Pinang tiada kuasa sebenar, mereka tidak berani berkonfrontasi dengan DAP Pulau Pinang dan jika PKR terus mendiamkan diri, maka tidak mustahil akan berlaku beberapa kerusi dewan undangan negeri dan parlimen milik PKR akan dirampas DAP dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan