Semenjak
akhir-akhir ini hangat diperdebatkan di media sosial perihal unsur LGBT yang
terdapat dalam filem yang diimport dari barat. Kemudian, timbul pula golongan
opportunis yang mengambil peluang mempromosikan jualan nasi lemak mereka dengan
mengangkat terma Gay dan Pondan bagi menarik perhatian ramai.
1.
LGBT itu sendiri adalah akronim atau satu singkatan yang merujuk kepada
Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender ataupun secara mudahnya ialah perbuatan
Liwat (Gay) Sihaq (Lesbian) juga disebut sebagai homoseksual. Naluri seks
mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula digunapakai
di awal tahun 90an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol
keragaman dalam seksualiti insan. Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada
didiskriminasi dengan beranggapan ia merupakan hak asasi manusia (HAM). Setakat
ini terdapat 22 buah negara yang mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan
mengiktiraf perkahwinan sejenis.
2.
Perbuatan Homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth, iaitu kaum Sodom yang
dilaknat Tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab
dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada
api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum Sodom dan penghuninya.
Oleh kerana seringkali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat
berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang
ditimpakan kepada kaum tersebut. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam Al-Quran.
3.
Masihkah kita ingat, 6 tahun yang lalu negara kita digemparkan dengan
kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan
kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli namun gagal. Pelajar tajaan
Petronas ini gagal dihubungi malah langsung tidak berhubung dengan keluarganya.
Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila
dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan
bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak
selama 8 tahun tetapi digemparkan dengan berita yang menghayat hati ini.
4.
Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT? Ada yang memberikan
alasan, ia adalah satu bentuk penyakit ‘mental disorder‘. Tetapi ianya
disangkal oleh seorang Ahli Neurologi, Dr Ryu Hasan mengatakan tidak ada
istilah sembuh bagi orang yang memiliki orientasi seksual lesbian, gay dan
biseksual. Menurutnya lagi, LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan jadi tidak
perlu disembuhkan. Menurut ahli psikologi LGBT ini terbentuk kerana
persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama
dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri
mereka yang sebenar.
5.
Sudah jelas Islam melarang perbuatan ini. Tapi, bagaimana dengan agama lain ?
Di dalam agama Kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu
dikira berdosa menurut Bible. Perbuatan homoseksual, di dalam Bible dengan
tegas melarang manusia untuk melakukan tindakan tersebut kerana merupakan
perbuatan yang dilaknat oleh Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22 ;
20:13
6.
Proses normalisasi yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari
awal, sebelum ianya lebih melarat dan sukar untuk ditangani. Jangan tunggu
sehingga nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil
kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan
sebesar 37% semenjak 2009-2012. Pemerintah harus memainkan peranan bagi
menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak
dari awal bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut
bertanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak di rumah.
Sama-sama
kita memelihara negara kita daripada malapetaka ini sebelum datangnya azab
Allah seperti Tsunami yang pernah menimpa di Acheh satu ketika dahulu. Ia juga
bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut untuk kita menutup pintu-pintu
kejahatan sekaligus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.
Saya
menutup rencana ini dengan sepotong ayat Al-Quran buat renungan bersama:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ
الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ
الْعِقَابِ
“Dan
peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang
zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.” (Al-Anfaal
:25)
Ustaz Zabidi Azhar
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan