Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: 'Tabiat' Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang gemar membuat
pendedahan demi pendedahan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebenarnya
hanya memakan dirinya sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar berkata, pendedahan
Rafizi konon kelihatan seolah-olah sahih, namun akhirnya hanya menjerat
dirinya sendiri apabila 'bukti' dakwaannya itu tidak kukuh dan diperoleh
secara 'serkap jarang'.
"Dia (Rafizi) menganggap dirinya sebagai 'whistle-blower' tetapi kita
di dewan rakyat menganggap dia sebagai 'trumpet-blower', bukan sebagai
pemberi maklumat untuk mendedahkan sesuatu.
"Apa yang dia hujah itu, apa yang dia tuduh itu akhirnya seolah-olah
dia melepaskan batuk di tangga, tidak ada tanggungjawab secara langsung
sampai penghujungnya.
"Tetapi akhirnya samada dia didakwa di mahkamah atau dia memohon maaf,
ataupun apa yang diperkatakannya itu berhenti di situ sahaja," katanya
dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
Malah kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga, tabiat Rafizi itu
sebenarnya telah banyak menjejaskan nama baik negara apabila pendedahan
tersebut hanya 'tergantung' lantaran ia hanya berdasarkan dakwaan
semata-mata.
Menurutnya, disebabkan itu, rakyat kini sudah mula menyedari bahawa
'pendedahan' Rafizi itu tidak berasaskan bukti yang kukuh.
"Sebetulnya memang politik sebegini tidak boleh diamalkan sebab kalau
dia membuat tuduhan kepada kerajaan dari segi menurunkan ekonomi negara
ataupun menakutkan pelabur-pelabur dan negara kita, menakutkan pelancong
datang, ini sudah tentu akan merugikan ekonomi negara dan sudah tentu
impaknya juga bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi kepada rakyat
biasa.
"Mula-mula memang orang percaya, tetapi akhirnya dia terperangkap
dengan permainan dia sendiri dan orang lihat dia sudah tidak ada
kredibiliti.
"Bukan sahaja orang yang berpendidikan, tetapi orang di kampung juga
telah merasa tertipu oleh banyak wakil rakyat termasuk Rafizi dengan
pendedahan demi pendedahan kononnya ada yang mahu didedahkan, ada
penyelewengan, ada pembohongan, penipuan dan sebagainya tetapi tidak ada
satu pun yang berjaya diselesaikan, ataupun misi yang dibawanya itu ada
penghujungnya iaitu ada pendakwaan, penyiasatan dan sebagainya,"
katanya.
Rafizi merupakan individu yang ligat membuat pendedahan membabitkan
kerajaan, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beberapa bulan lalu, beliau menuduh pula bekas rakan tahaluf partinya,
PAS menerima dana jutaan ringgit daripada syarikat 1MDB melalui bekas
Timbalan Presidennya, Datuk Nasharuddin Mat Isa. Bagaimanapun
Nasharuddin menafikan tuduhan itu dan mengatakan ia adalah fitnah
Rafizi.
Terbaru, pemimpin PKR itu memohon maaf ekoran tersilap mengenal pasti
seorang wanita, FLorence Goh yang didakwanya terlibat dalam pelantikan
firma pelobi untuk kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan