HALAMAN SANTAI
Jumaat, 23 Jun 2017
Pakatan Harapan Dilanda Krisis Dalaman, Parti Baharu Tarik Diri..
Disebabkan Pakatan Harapan dilanda krisis dalaman yang serius, Parti Generasi Baru membatalkan hasrat untuk menyertai gabungan pembangkang itu.
“Parti ingin memaklumkan bahawa kami telah menarikbalik permohonan kami menyertai Pakatan Harapan sehingga isu kepimpinan Pakatan Harapan diselesaikan, “kenyataan Majlis Tertinggi Parti Generasi Baru yang dikeluarkan hari ini dipetik.
Bagaimanapun Parti Generasi Baru tidak menamakan individu-individu yang mengeluarkan kenyataan itu memandangkan terdapat dua kumpulan yang mendakwa masing-masing adalah pemimpin parti iaitu Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dan Datuk G Kumar Aamaan.
Pada 4 April lalu, Parti Generasi Baru dari kem Ezam yang diwakili oleh timbalannya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah menghantar permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan kerana percaya gabungan itu merupakan satu-satu gabungan pembangkang yang kukuh.
Namun, sangkaan itu meleset apabila pimpinan Pakatan Harapan juga dilanda krisis apabila PKR dan PPBM masing-masing berebut untuk menjadi ketua pakatan pembangkang.
Menjelaskan lanjut, Majlis Tertinggi Parti Generasi Baru berkata jawatan Pengerusi Pakatan Harapan sepatutnya disandang oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bukannya diambil alih oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kami juga percaya bahawa hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang harus mengetuai Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri haruslah datang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan bukannya dari Pertubuhan Pribumi Melayu Bersatu (PPBM).”
Majlis Tertinggi Parti Generasi Baru turut menolak pencalonan semula Mahathir sebagai Perdana Menteri, sebaliknya mencalonkan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengisi jawatan tersebut.
“Kami juga ingin mengesyorkan supaya Pakatan Harapan segera menamakan Datuk Seri Azmin Ali sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan di atas kecemerlangan beliau menerajui negeri Selangor sebagai Menteri Besar dan juga kerana beliau dilihat calon paling senior dan paling sesuai mengikut senario politik tanahair masa kini.”
PPBM menurut kaca mata Majlis Tertinggi Parti Generasi Baru merupakan sebuah parti pengkhianat yang sedang mengadakan rundingan sulit dengan UMNO.
“Kami mendapat berita dari sumber yang sahih bahawa beberapa pemimpin UMNO termasuk Menteri Besar beberapa buah negeri dan beberapa Menteri Kabinet Kanan telah berpakat bersama sebilangan pemimpin tertinggi PPBM supaya pemimpin-pemimpin UMNO ini terus kekal berkuasa dan tidak akan diambil apa jua tindakan oleh pihak berkuasa dengan menyertai PPBM jikalau Pakatan Harapan menang pada Pilihanraya Umum ke 14.
“Manakala jikalau BN menang maka pemimpin-pemimpin PPBM ini akan kembali ke pangkuan UMNO BN.
“Bagi kami ini adalah pengkhianatan terbesar terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat pada Pakatan Harapan secara umumnya.
“Maka, untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan, PKR harus mengetuai Pakatan Harapan dengan calon Perdana Menteri juga datang dari PKR dan bukan PPBM.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan