HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Jun 2017

Annuar: Pembangkang sedang takut ditelanjangi

MALAYSIAKINI


Tindakan pembangkang terus-menerus memainkan isu saman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain sebagai modal politik, kata Tan Sri Annuar Musa

Ketua Penerangan Umno berkenaan berkata tindakan pembangkang itu juga sebagai taktik mereka untuk mengalihkan perhatian daripada keputusan kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian aktiviti pertukaran mata wang asing (forex) dialami Bank Negara sekitar 1980-an dan 1990-an.

Kata Annuar, pembangkang mahu memanipulasi laporan DOJ untuk mengalih tumpuan daripada krisis dalaman yang berkaitan dengan keyakinan terhadap kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

"Pembangkang sengaja mengitar semula laporan DOJ yang bermotif politik untuk membangkitkan isu 1MDB yang telah selesai.

"Ini hanyalah taktik lencongan. Pembangkang dan proksi merekalah yang bertanggungjawab menyebabkan campur tangan negara asing dalam negara kita yang demokratik dan berdaulat ini dengan memberi maklumat kepada DOJ, satu perbuatan khianat yang amat mengaibkan bagi memuaskan agenda politik demi kepentingan diri sendiri," kata Annuar dalam satu kenyataan.

PKR pada 22 Jun lalu menyambut baik penubuhan RCI berhubung skandal forex Bank Negara yang berlaku sekitar tahun 1980-an tetapi pada masa yang sama, menuntut tindakan sama perlu dilakukan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Boleh bawa padah

Ketika isu forex itu berlaku, kabinet Malaysia diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Dr Mahathir kini menjadi antara pengkritik paling tegar Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir juga kini bergerak sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dianggap menjadi saingan kepada Umno kerana dibarisi beberapa bekas pemimpin parti berkenaan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata gesaannya supaya RCI untuk 1MDB dibuat selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti awam terhadap kehilangan berbilion-bilion ringgit didakwa akibat salah urus agensi pelaburan milik kerajaan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata keputusan kabinet untuk membentuk RCI bagi menyiasat kerugian forex yang dikatakan membabitkan wang rakyat bernilai sehingga RM100 bilion mewujudkan keadaan panik dalam kalangan pembangkang.

"Kita semua maklum mengenai dalang yang bertanggungjawab terhadap kerugian besar ini dan pembangkang berada dalam keadaan huru-hara kerana tidak mahu kehilangan Dr Mahathir bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Mereka tahu jika kebenarannya diketahui umum, pembangkang dan kepimpinannya akan ditelanjangi di khalayak ramai. Ini boleh membawa padah besar dalam pilihan raya nanti," katanya.

DOJ dalam pemfailan ketiga dan terbaru meletakkan angka yang didakwa diselewengkan pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas aset AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.


Tiada ulasan: