HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Jun 2017

PSP nafi saran pengendali kantin peluk Islam, kata MIC

MALAYSIAKINI


Pihak pengurusan Politeknik Seberang Perai (PSP) menafikan memberi saranan kepada bekas pengendali kantin beragama India untuk memeluk agama Islam agar dapat meneruskan operasi, kata Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang M Pirakash.

Pirakash berkata, pasukannya termasuk Bendahari MIC negeri, M Shanmugam dan Setiausaha Eksekutif parti negeri, L Muneshwaran telah bertemu dengan Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin yang menafikan dakwaan yang dibuat oleh pengendali kantin tersebut, Gopi Krishnan Gopal.

Pirakash juga menafikan Gopi Krishnan terpaksa menghentikan operasi di PSP kerana diskriminasi kaum sambil mengulangi kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan bahawa kontrak itu ditamatkan atas alasan pentadbiran.

PSP enggan memberi maklum balas kepada Malaysiakini sementara mesej teks ke jabatan perhubungan awam PSP juga tidak diberikan perhatian.

Semasa sidang media semalam, Gopi Krishnan merungut mengenai dakwaan tertakluk kepada peraturan pematuhan syariah walaupun beliau bukan seorang Muslim.

Bekas jurutera berusia 45 tahun itu yang menjalankan perniagaan gerai makanan bersama isteri, Annie Khor menawarkan makanan India kepada kira-kira 1,200 pelajar bukan Islam yang kebanyakannya vegetarian.

Tiada ulasan: