Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Yang Di-Petua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar
tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap bekas majikannya,
Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih untuk bersekongkol dengan
pembangkang hanya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana
Menteri.
Abu Hassan berkata, beliau langsung tidak menjangkakan Dr Mahathir akan
kembali aktif dalam arena politik negara, sementelah beliau sudah
memegang tampuk pemerintahan 22 tahun lamanya.
"Itu diluar jangkaan saya. Saya berpendapat bahawa beliau meletakkan
jawatan pada ketika dan tidak akan aktif dalam kerajaan lagi. Saya
sendiri dah pun bersara sebagai Menteri Besar Selangor dan tidak saya
jangka beliau akan kembali aktif.
"Saya benar-benar berfikir beliau sudah lama menjadi Perdana Menteri
dan ingin bersara," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif
Antarapos.
Abu Hassan berkata, apa juga alasan Dr Mahathir bersekongkol dengan
pembangkang, beliau sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan
memberi ruang yang secukupnya untuk Datuk Seri Najib Razak menimbang
segala cadangan serta nasihatnya.
"Sebenarnya dia tidak patut berbuat demiakan. Kalau ada apa-apa yang
dia fikir tak kena dengan pimpinan kerajaan dan parti pada ketika ini
dia boleh menyuarakannya dengan pelbagai cara.
"Tak perlulah menubuhkan satu parti yang lain dan bersekongkol pula dengan pembangkang," ujarnya.
Dr Mahathir sebelum ini kecewa apabila Najib enggan mendengar
nasihatnya betapa perdana menteri itu membuat kesilapan dalam merangka
strategi memimpin negara.
Beliau mula menyeru ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) agar menolak kepimpinan Najib namun usahanya gagal.
Kemuncaknya, Dr Mahathir menubuhkan parti baru, Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) dan bersekongkol dengan Pakatan Harapan, untuk
menjatuhkan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan